Sorting by

×

ATLET MELAKA CEMERLANG DI KEJOHANAN MUAY THAI KEBANGSAAN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Penyertaan pada Kejohanan Muaythai Sukan Tempur Kebangsaan Pra-Sukan Malaysia (SUKMA) dan Kejohanan Muay Thai Grand Prix Kebangsaan 2025, membuahkan hasil membanggakan apabila kontinjen Melaka diumumkan pemenang tempat ketiga keseluruhan kejohanan berprestij itu.

Kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 24 hingga 27 Julai lalu menyaksikan atlet Melaka membawa pulang enam pingat emas, dua pingat perak dan lima pingat gangsa, sekali gus mengumpul keseluruhan 13 pingat.

Jurulatih Persatuan Muay Thai Negeri Melaka, Md Zawawi Ibrahim, 40, berkata kejayaan itu adalah satu pencapaian luar biasa memandangkan Melaka sebelum ini tidak pernah berada dalam kedudukan tiga teratas bagi kejohanan peringkat kebangsaan.

“Seramai 30 atlet berusia antara lapan hingga 20 tahun mewakili Melaka dalam pelbagai kategori dan kita berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan di belakang Sabah dan Sarawak.

“Ini satu pencapaian yang sangat memberangsangkan dan menjadi suntikan semangat baharu kepada atlet Muaythai negeri ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Persatuan Muay Thai Negeri Melaka di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan lebih manis apabila seorang atlet muda Melaka, Nik Mohd Haikal Danish Nik Azman, 11, bukan sahaja memenangi pingat emas, malah turut dinobatkan sebagai ‘Best Boxer Lelaki’ dalam kategori bawah 12 tahun.

Katanya, tiga lagi pingat emas diperoleh melalui acara sukan tempur, yang mana kesemua atlet terbabit dilihat sebagai prospek utama ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih pasukan, Mohd Rosdi Yob, 42, yang juga wardar Sekolah Henry Gurney Telok Mas berkata, dua pelajar dari sekolah berkenaan turut diberi peluang menyertai kejohanan tersebut.

“Seorang berjaya menyumbang pingat emas buat Melaka. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan potensi besar yang ada dalam kalangan pelajar Sekolah Henry Gurney Telok Mas.

“Kami mempunyai lebih 20 pelajar aktif dalam muay thai dan mereka dilihat mampu diketengahkan sebagai pelapis sukan tempur negeri pada masa akan datang,” katanya.

Pencapaian luar biasa kontinjen Muaythai Melaka itu diharap mampu merangsang pembangunan sukan tempur di peringkat akar umbi, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet berbakat untuk mengharumkan nama negeri dan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post TAMAN KEBAYA BAKAL TERIMA GELANGGANG FUTSAL BAHARU
Next post TAMAN LAUT IKON PEMULIHARAAN BIODIVERSITI MARIN, DESTINASI PELANCONGAN LESTARI