Atlet UTeM ‘raja’ rejam lembing SUKIPT 2022.
DURIAN TUNGGAL 9 September – Atlet Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi, mengungguli acara rejam lembing, sekali gus merangkul emas pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022.
Pencapaian Syed Abrar pada kejohanan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini mencorak sinaran pencapaian baharu buat seluruh kontinjen UTeM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pencapaian itu juga menamatkan kemarau pingat emas buat kontinjen UTeM.
Beliau berkata, emas terakhir yang dimenangi UTeM adalah melalui acara Tenpin Boling perseorangan lelaki pada penyertaan SUKIPT 2012 yang lalu.
“Selain rejam lembing yang berjaya menepati sasaran emas, kami turut meraih dua gangsa menerusi acara silat olahraga, kelas Putra H dan Putri A.
“Syed Abrar semakin matang, Mac lalu beliau memenangi emas dalam acara rejam lembing pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 2 Zon Utara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UTeM yang juga Ketua Kontinjen ke SUKIPT 2022, Azhar Mohd Salleh meluahkan rasa bangga atas pencapaian atlet mengambil bahagian.
Katanya UTeM menduduki tempat ke-29 keseluruhan daripada 66 kontinjen mewakili institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
“Kali ini UTeM ambil bahagian dalam sembilan acara sahaja berbanding 10 pada SUKIPT 2018. Namun keputusan kali ini amat membanggakan dengan kesemua atlet telah membuktikan kemampuan juang dan daya saing mereka,” katanya.
SUKIPT 2022 merupakan edisi yang kelima selepas penganjurannya tertangguh pada 2020 akibat pandemik Covid-19 telah berlangsung dengan jayanya 12 hingga 21 Ogos lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.