Awas, musim curi lembu!

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat
ABDULLAH Idris, 64. Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 21 Julai – Selagi belum raya, selagi itulah penternak lembu terpaksa meningkatkan kawalan terhadap lembu masing-masing bagi memastikan ia tidak menjadi mangsa sang pencuri apatah lagi menjelang Hari Raya Aidiladha.

Pantang lepa, lembu atau kambing yang dibela pasti lesap dicuri pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa menunggu peluang meraih habuan.

Bagi Abdullah Idris, 64, atau lebih dikenali sebagai Mat Noor, pengalaman lalu mengajar beliau supaya lebih berhati-hati menjelang Aidiladha atau Aidilfitri kerana pada waktu seumpama itulah kumpulan pencuri lembu akan ‘mengganas.’

“Aidiladha tahun lalu saya hilang seekor lembu yang saya cadang untuk dijual kepada penjual daging beberapa hari sebelum perayaan itu, menyebabkan saya kerugian antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Tahun ini, tiga lembu dewasa sudah ditempah untuk dikorbankan dan saya terpaksa meningkatkan kawalan untuk memastikannya tidak hilang dan begitu juga dengan lembu yang tidak ditempah tetapi boleh dijual kepada penjual daging,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Beliau berkata, jika sebelum ini 20 lembunya dilepaskan meragut rumput di ladang kelapa sawit tidak jauh dari kandang, sekarang beliau terpaksa menggembala haiwan berkenaan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Dakwanya, kumpulan pencuri lembu mengamalkan pelbagai taktik licik seperti menggunakan laluan sukar untuk masuk ke dalam ladang kelapa sawit, selain bergerak secara berasingan dalam kumpulan seramai satu atau dua orang.

Abdullah mendakwa, ada antara kumpulan itu ‘pakar’ menembak lembu dengan menggunakan pelali, selain ada yang mahir menyembelih dan melapah lembu dalam tempoh yang singkat dalam ladang berkenaan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak membuat laporan polis kecurian lembu tahun lalu kerana beberapa tahun lalu beliau pernah berbuat demikian selepas kehilangan seekor lembu tetapi tiada sebarang tangkapan.

Katanya, beliau juga terpaksa meninjau keadaan lembu di kandang pada sebelah malam bagi memastikan semua haiwan peliharaannya tidak dilarikan sang pencuri yang licik.

“Selagi sebelum raya, selagi itulah saya terpaksa berjaga malam untuk memastikan hasil titik peluh saya menjaga, memotong rumput untuk memberinya makan dan membeli makanan dedak berbaloi,” katanya.

Abdullah berkata, bukan beliau seorang sahaja yang terpaksa menggembala lembu dan berjaga malam, beberapa rakannya yang turut memelihara lembu turut terpaksa berbuat demikian.

Katanya, sebelum hujan, lebih baik beliau menyediakan payung dan sebelum lembu kesayangan menjadi mangsa sang pencuri, lebih baik beliau membuat langkah pencegahan.

Views:

616
Kongsi :
Previous post Agong kurnia biasiswa kepada 11 pelajar
Next post Tiada lagi kuarantin di rumah
Ubah saiz-+=