Bahagian Khidmat Musa’adah pastikan golongan sasar dibantu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 8 Feb. – Bahagian Khidmat Musa’adah Jabatan Ketua Menteri Melaka sentiasa memantau perkembangan masyarakat di negeri ini bagi memastikan tiada golongan sasar tercicir daripada menerima bantuan.

Pengarahnya, Sha’ari Samsudin berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat daripada pengadu supaya ia dapat disampaikan kepada agensi terlibat.

“Musa’adah adalah pengantara pejabat Ketua Menteri bersama agensi yang berkaitan untuk cuba membantu dan mempermudahkan urusan mereka yang memerlukan.

“Kita cuba dapatkan maklumat daripada pengadu dan buat panggilan kepada semua agensi yang terlibat untuk berbincang bagaimana hendak menyalurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan sumbangan ke rumah, Rosita Alus,52, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik di Taman Ayer Keroh Heights, dekat sini, hari ini.

MUHAMMAD Dino (empat dari kanan) menyerahkan bantuan MAIM kepada Rosita.

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri serta wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh turut hadir bagi mendengar permasalahan dihadapi pesakit tersebut.

Katanya, hasil perbincangan pihak MAIM meluluskan permohonan bagi mendapatkan bantuan bulanan serta membantu kos rawatan atau perubatan untuk Rosita.

“Penerima (Rosita) mohon dapatkan bantuan bulanan, insya-Allah bantuan bulanan akan diberikan pihak MAIM dan kita juga sudah maklumkan JKM jika ada bantuan yang sesuai,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Unit Naziran Agihan Zakat Melaka Tengah, Muhammad Dino Md Delan berkata, pihaknya telah meluluskan bantuan makanan RM200, pesakit kronik (RM150) dan bantuan anak sekolah (RM50).

“Keseluruhannya RM400 akan disalurkan kepada pesakit kronik ini dan kita akan lihat dari semasa ke semasa keperluan lain jika diperlukan.

“Permohonan dia dah diluluskan, jika dia perlukan bantuan makanan dah boleh ambil, tetapi jika pertukaran kepada wang tunai memerlukan sedikit masa,” katanya.

Views:

1470
Kongsi :
Previous post Polis keluarkan 749 kompaun sepanjang 21 hari PKP 2.0
Next post COVID-19 : Melaka merekodkan 344 kes positif hari ini
Ubah saiz-+=