Bakul makanan menerusi PEMULIH mula diagih di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 4 Julai – Bantuan Bakul Makanan kepada rakyat yang terjejas COVID-19 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sudah mula diagihkan di negeri ini.

Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sebanyak 4,400 kit makanan bernilai lebih RM80 setiap satu telah diagihkan kepada rakyat terjejas di parlimen itu bermula awal minggu ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, berkata bakul makanan yang mengandungi barang keperluan seperti beras, minyak, tepung dan gula itu diagihkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung dan Jawatankuasa Masjid serta badan bukan kerajaan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana menyalurkan peruntukan untuk program Bantuan Bakul Makanan ini dan diharap sedikit-sebanyak dapat meringankan beban rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang, untuk melaksanakan program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, bantuan itu akan diagihkan kepada rakyat yang layak dalam tempoh terdekat selepas proses lantikan pembekal barangan keperluan asas selesai.

“Tender terbuka dilakukan bagi membantu golongan pembekal yang turut terjejas COVID-19 dan ia dijangka selesai dalam masa terdekat ini bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan yang betul-betul layak,” katanya, menambah sementara menunggu proses tersebut selesai, rakyat akan dibantu menerusi inisiatif bank makanan.

Pada masa sama beliau berkata, mereka yang memerlukan boleh memohon bantuan itu dengan mengisi borang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post Ikhlas AirAsia sasar kumpul RM1 juta, bantu komuniti terjejas
Next post Agihan bantuan makanan secara ‘food bank’, elak orang ramai berkumpul
Ubah saiz-+=