
BALAI SENI LUKIS MELAKA BAWAKAN PAMERAN ‘COLOURS OF KELANTAN’ SIRI 3
BANDA HILIR 16 Ogos – Balai Seni Lukis Melaka menjadi platform kepada pelukis tanah air khususnya untuk terus berkarya dan mengembangkan bakat seni.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, menerusi Balai Seni Lukis Melaka pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan termasuklah pameran lukisan atau hasil karya daripada pelukis-pelukis tersohor.
Katanya, ini dapat dilihat apabila lebih 80 hasil karya atau lukisan pelukis prolifik dari negeri Kelantan iaitu milik Mahmood Mat dipamerkan di Balai Seni Lukis Melaka bersempena Pameran Lukisan ‘Colours of Kelantan Siri 3’.
“Turut bersama-sama dengan pelukis dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah pelukis tempatan lain termasuk dari Melaka.
“Dengan adanya Balai Seni Lukis Melaka sebagai platform, kita memberi peluang kepada pelukis-pelukis tanah air untuk bekarya dan mengembang bakat mereka.
“Malah ini merupakan kerjasama kali kedua antara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama Mahmood Mat selepas penganjuran siri pertama.
“Ini secara tidak langsung dapat menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi seni yang disegani,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Lukisan ‘Colours of Kelantan Siri 3’ yang turut dihadiri Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah, di Balai Seni Lukis Melaka, semalam.
Menurut Zaidi, menerusi pameran yang diadakan ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan seni dan budaya antara negeri-negeri di Malaysia.
“Ini dapat dibuktikan apabila seni bukan sekadar rakaman visual tetapi juga jambatan yang menghubungkan kita sebagai satu bangsa Malaysia.
“Pameran Lukisan ‘Colours of Kelantan Siri 3’ misalnya dapat memperkenalkan seni visual negeri kelantan apabila 70 peratus karya dipamerkan bertemakan landskap dan kebudayaan negeri tersebut manakala bakinya menampilkan keindahan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.