Banjir: Institusi pendidikan di bawah KPM beroperasi seperti biasa

Masa Membaca:2 Minit, 59 Saat

PUTRAJAYA, 2 Jan – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terjejas akibat banjir serta yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), telah beroperasi seperti biasa bermula hari ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata dalam tempoh 11 Nov sehingga semalam, sebanyak 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan satu pusat permata di Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak terlibat dengan bencana banjir Monsun Timur Laut.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 207 institusi pendidikan di bawah KPM di 10 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Sabah telah dijadikan PPS iaitu 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

Dalam sidang media berhubung situasi terkini institusi pendidikan KPM terkesan bencana banjir di sini hari ini, beliau berkata setakat pukul 4 petang semalam, Laporan Dashboard Pelaporan Banjir KPM menunjukkan sembilan sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kelantan, Pahang dan Sarawak masih terlibat banjir.

Pada masa ini, katanya satu sekolah rendah masing-masing di Kelantan dan Pahang masih dijadikan PPS.

“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) telah mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan sekolah boleh beroperasi seperti biasa seperti memindahkan stok atau lebihan perabot dan buku teks daripada sekolah dalam daerah yang sama ke sekolah yang memerlukan,” katanya.

Fadhlina berkata PPD dan JPN sedang mengumpulkan anggaran kerosakan yang dialami oleh institusi pendidikan di bawah KPM yang terlibat dengan banjir.

“Laporan awal yang diterima, anggaran kerosakan akibat banjir kali ini melebihi RM1 juta yang melibatkan kerosakan perabot, pagar dan fizikal bangunan di negeri terlibat banjir, serta aset yang tidak boleh dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata KPM turut menyediakan bantuan kepada institusi, guru dan warganya yang terjejas dengan banjir seperti dalam kes murid yang dilaporkan lemas di Kelantan apabila tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang diberikan kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan dijadikan PPS akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn, selain sukarelawan daripada KPM telah turun ke sekolah bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

“Smart Support Team juga turut membantu murid yang menjadi mangsa di PPS menangani masalah trauma dan menstabilkan emosi berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 8 tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana,” katanya.

Fadhlina berkata murid yang terkesan dengan banjir dibenarkan untuk hadir ke sekolah berpakaian biasa.

“Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir dan pakaian mereka juga hanyut atau pun ‘total loss’ menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah, kita setuju bahawa mereka boleh datang ke sekolah menggunakan pakaian biasa dan sesuai,” katanya.

Mengenai persediaan menghadapi peperiksaan awam, Fadhlina berkata seramai 4,058 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia akan menduduki peperiksaan yang bermula hari ini, dan setakat pukul 2 petang semalam, tiada calon berkenaan berada di PPS akibat terjejas banjir.

Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang akan bermula 8 Jan depan, Fadhlina berkata seramai 395,870 calon akan menduduki peperiksaan dan hanya seorang calon masih berada di PPS di Johor.

Setakat semalam, menurutnya tiada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang berada di PPS dan peperiksaan hanya akan bermula pada 9 Jan depan.

Ditanya mengenai pengoperasian sekolah ketika kes COVID-19 meningkat, Fadhlina berkata KPM telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua institusi pendidikan di bawah KPM untuk mereka terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

Semua institusi pendidikan KPM juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan jangkitan respitori yang lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Pembaharuan lesen memandu, kenderaan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb – Loke
Next post Hasrat remaja Orang Asli untuk peluk Islam tercapai
Ubah saiz-+=