Banjir: Kerja pembaikan infrastruktur rosak telan belanja RM1 bilion – KKR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini memaklumkan bahawa  kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja RM1 bilion.

Ketua Setiausaha KKR Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman berkata infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

Beliau berkata selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerja-kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh, dan perlu dilaksanakan segera.

“Fokus utama adalah untuk memastikan laluan yang terjejas dapat dilalui dan kemudiannya memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat.” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu Wan Uzir juga memaklumkan bahawa  KKR sedang mengambil langlah-langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya ‘gelombang kedua’ banjir.

“Yang kami khuatir adalah berlakunya gelombang kedua. Banjir baru-baru ini telah mengakibatkan kerosakan dan gelombang kedua boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan berlaku. Antara contoh langkah berjaga-jaga yang telah diambil, KKR sedang berkerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak,” katanya.

“Kami telah mengenal pasti cerun yang ‘cedera’ dan telah memasang perlindungan untuk mengelakkan berlakunya kejadian cerun runtuh” katanya.

Wan Uzir bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman hari ini hadir melakukan tinjauan kerja pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, Hulu Langat dekat sini.

Jambatan itu akan menghubungkan kembali sejumlah 12 keluarga yang ‘terperangkap’ apabila jambatan kekal merentasi Sungai Lui ke kampung itu runtuh pada 18 Dis lepas. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Banjir: Hotel MITC tawar bilik RM90 buat mangsa di Melaka
Next post Banjir: ‘Abang Viva’ sudah tiba di Taman Merdeka
Ubah saiz-+=