Banjir: Tawakal tinggalkan rumah, terpisah konvoi berkejar ke PPS

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUANTAN, 21 Dis – Tawakal menjadi pegangan kepada mangsa banjir Zarina Abd Ghani apabila dia bersama lapan ahli keluarga terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa selepas kediamannya di Kampung Kurnia di sini, dinaiki air secara mendadak.

Zarina, 40, berkata mereka tidak menjangkakan keadaan itu akan berlaku kerana pada banjir sebelum ini, mereka masih boleh mengemas barangan penting selain banjir besar yang melanda Kuantan pada 2013 hanya menyebabkan air naik separas lutut.

“Kami baru habis memindahkan kereta dan sebuah motosikal ke kawasan tinggi apabila paras air naik mendadak…risau dengan keselamatan anak-anak, kami hanya mampu menolak sebuah lagi motosikal ke dalam rumah dan terus mencapai barangan penting.

“Kemudian terus keluar, kunci pintu dan sebelum meninggalkan rumah, saya hanya berdoa supaya barangan di dalam rumah selamat. Setakat hari ini, saya diberitahu air sudah ke paras tingkap,” kata suri rumah itu semasa ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Wisma Belia di sini.

Zarina antara 225 mangsa banjir di PPS itu, yang ‘menerima kunjungan’ Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan menyantuni mangsa banjir di tiga PPS sekitar daerah ini semalam.

Turut berangkat ialah anakanda Seri Paduka Baginda berdua Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sementara itu, warga emas Halimah Abdullah, 60, dari Bukit Rangin Damai di sini berkata walaupun rumahnya banjir, dia lebih memikirkan suaminya Zakaria Abdul Salam, 80, yang terpisah sejak mereka berpindah ke PPS.

Halimah berkata semasa kejadian, keadaan begitu cemas dan dia bersama seorang anak perempuan berusia 21 tahun menumpang jiran untuk ke PPS manakala suaminya yang tidak sihat dibawa oleh jiran lain, namun difahamkan kereta jirannya mengalami masalah tayar pancit dalam perjalanan ke PPS menyebabkan ‘konvoi’ terpisah.

“Selepas itu saya dihubungi suami mengatakan mereka di PPS di Sungai Isap. Walaupun tahu ada yang akan menjaga suami, tapi saya lebih senang kalau dia di depan mata kerana dia ada lelah teruk sehingga beberapa kali dimasukkan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, di PPS Sungai Isap, kanak-kanak Nur Yasmi Abdullah, 11, tidak putus-putus senyum apabila dimaklumkan bahawa ‘lelaki memakai uniform tentera’ yang menyapanya ialah Tengku Hassanal yang turut berkenan mengurniakan sumbangan kepadanya.

“Tak sangka dapat jumpa anak raja bila duduk di PPS dan lebih seronok bila Tengku (Hassanal) berhenti dan menyapa saya kerana ramai lagi di sini,” katanya yang berpindah ke situ bersama lima ahli keluarga selepas rumah mereka di Permatang Badak di sini dinaiki air separas tingkap.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa banjir dipindahkan menurun
Next post Sembilan mayat ditemukan di kawasan banjir di Shah Alam
Ubah saiz-+=