Bantu B40, M40 beli rumah harga mampu milik

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Februari – Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Melaka 2024 dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 18 Februari depan menawarkan 6,941 unit kediaman.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, program tahunan itu bertujuan memudahkan golongan sasaran B40 dan M40 memiliki kediaman idaman pada harga mampu milik.

Katanya, sebanyak 17 pemaju perumahan, tiga agensi kerajaan, institusi kewangan dan perbankan serta badan korporat mengambil bahagian bagi menjayakan program itu.

“Ekspo yang diadakan ini akan menawarkan pelbagai jenis kediaman seperti Rumah Bahagia (Rumah Kos Rendah), Rumah Sejahtera (Rumah Kos Sederhana Rendah), Rumah Mampu Milik Impian A dan Rumah Mampu Milik Impian B bermula serendah RM70,000 hingga RM250,000.

“Tawaran ini dibuka mengikut jenis rumah di lokasi strategik, bandar-bandar utama di ketiga-tiga daerah di Melaka dengan nilai jualan keseluruhan rumah bernilai RM841.5 juta.

“Orang Melaka datanglah beramai-ramai, bersama-sama kita meriahkan program ini yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Beli-Belah Aeon Bandaraya Melaka dari jam 10 pagi hingga 10 malam yang dijangka dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Cabutan Undi Reruai dan Sidang Media Ekspo RMM Negeri Melaka 2024 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin dan Timbalannya, Salleh Hamidom.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, rebat untuk bakal pembeli Rumah Belia hadir ke ekspo itu turut ditawarkan rebat RM30,000.

“Kira-kira 10 peratus daripada 6,941 unit kediaman diperuntukkan bagi pembinaan Rumah Belia di semua daerah di Negeri Melaka.

“Melaka Finance House (MFH) juga mengambil bahagian dan mereka menawarkan pembiayaan bagi membina rumah mampu milik jenis sebuah atas tanah sendiri kepada mereka yang layak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1006
Kongsi :
Previous post Harga petrol, diesel kekal sehingga 14 Februari
Next post Kerajaan Turkiye biaya kos bina rumah transit Pengkalan Batu
Ubah saiz-+=