Bantuan PSU 4.0, tiada had gaji ditetapkan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA 28 Jun – Kerajaan menampung sebanyak RM600 bagi setiap pekerja selama empat bulan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) 4.0.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi inisiatif itu, kerajaan menampung selama dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala dua bulan seterusnya khusus bagi sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif dalam tempoh fasa ketiga PPN.

Katanya, sejak PSU diperkenalkan, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada kira-kira 2.7 juta pekerja sebelum ini.

“Memandangkan respon positif berhubung program ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

“Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.

Muhyiddin berkata, jika sebelum ini pelaksanaan disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4,000 namun menerusi PSU 4.0 tiada syarat had gaji ditetapkan.

“Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa
PKP.

“Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM425 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Bantuan RM3,000 kepada agensi pelancongan berdaftar
Next post Harga minyak masak botol 5kg tidak lebih RM30
Ubah saiz-+=