Baru 24 tahun sudah ada kebun daun kunyit

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER LIMAU 26 Januari – Sedang kebanyakan anak muda berdamping dengan telefon pintar di tangan, namun berbeza bagi Muhammad Syakir Hairil Nazri, 24 yang lebih selesa bergelumang dengan tanah dan baja.

Berkat minatnya dalam aktiviti berkebun dan hasil tunjuk ajar bapanya, anak kelahiran Lubok China itu kini menjadi antara pengusaha daun kunyit terbesar di negeri ini.

Menurut graduan Diploma Pengurusan Ladang sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Jasin itu, hasil usaha kerasnya sejak empat tahun lalu, dia sudah mempunyai sebanyak 2,500 polibeg tanaman daun kunyit yang ditanam di kebun seluas 0.4 hektar di belakang Kompleks Japerun Ayer Limau.

“Ini juga idea bapa selepas melihat tanaman daun kunyit tidak dikomersialkan berbanding tanaman cili padi, justeru saya mengusahakannya kerana ia mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan.

“Setiap pengeluaran daun kunyit yang baik memerlukan masa enam ke lapan bulan untuk matang sebelum dipetik.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas permintaan daun kunyit mencecah sehingga dua tan, jika tidak cukup saya terpaksa meminta bantuan rakan-rakan dari Selangor untuk bekalkan daun kunyit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-01-25 at 15.49.26
DAUN kunyit yang lebar dan cantik dihasilkan daripada benih yang baik.

Muhammad Syakir Hairil berkata, selain musim perayaan, daun kunyit turut mendapat permintaan sekitar 10 hingga 20 kilogram pada hari biasa.

Kata anak sulung daripada empat beradik itu, walaupun nampak agak mudah, namun untuk menghasilkan daun kunyit berkualiti, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh.

Ia termasuklah mendapatkan benih (ibu kunyit) yang terbaiik bagi menghasilkan daun lebih besar atau lebar.

“Mungkin boleh beli ibu kunyit daripada kedai-kedai runcit sahaja, tetapi hasilnya tidak memuaskan kerana daun kunyit dihasilkan tidak besar.. ibu kunyit juga ada jenisnya, contohnya saya gunakan kunyit daun pisang yang hasilkan daun lebih besar.

“Kalau kita mahu jual pun mestilah yang baik, sebab orang nak beli pun lebih yakin, kalau hanya nak tanam tepi rumah tu mungkin tak kisah sangat jenis ibu kunyit macam mana,” katanya.

Katanya lagi, dia turut berharap kebun yang diusahakan itu akan terus berkembang dan perniagaan daun kunyit itu dapat dikomersialkan di Negeri Melaka.

WhatsApp Image 2023-01-25 at 17.36.07
TERDAPAT juga tanaman limau kasturi diusahakan Muhammad Syakir.

“Saya juga bertekad untuk terus membantu keluarga hasil daripada produk pertanian seperti ini memandangkan keadaan kesihatan ayah saya yang tidak begitu baik apabila menghidap penyakit buah pinggang,” katanya yang turut mengusahakan kebun limau kasturi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4298
Kongsi :
Previous post Teka-teki Melaka FC terlerai 9 Februari ini
Next post MBMB keluar enam notis kesalahan pusat hiburan di Melaka
Ubah saiz-+=