Teka-teki Melaka FC terlerai 9 Februari ini
DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Teka-teki mengenai wajah baharu Kelab Bola Sepak Melaka (Melaka FC) akan diketahui 9 Februari ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, segala persoalan mengenai ketua jurulatih, mahupun barisan pemain akan terjawab pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Banda Hilir pada tarikh berkenaan.
Menurutnya, majlis itu juga antara lain akan mengumumkan barisan penaja, selain turut memperjelaskan lebih terperinci mekanisme pembayaran gaji yang lebih sistematik mengikut kemampuan sebenar kelab itu.
“Apa yang boleh saya katakan kita akan menggunakan khidmat jurulatih import dari Portugal sebagai pelan jangka panjang kita untuk kembali ke Liga Super. Tetapi nama sebenar jurulatih akan kita umum pada 9 Februari nanti.
“Selain itu, kita juga akan memperkenalkan barisan pemain yang mana ada sebahagiannya merupakan pemain yang pernah beraksi di Liga Super sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan akhir Governor Cup Melaka 2022 yang diadakan di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, malam tadi.
Perlawanan akhir itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, bagi saingan Liga M3, Melaka FC akan menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai venue laman sendiri dan perlawanan dijadual berlangsung pada sebelah malam.
Katanya, sasaran utama pasukan itu adalah untuk muncul dua pasukan terbaik, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2024.
“Insya-Allah dengan komitmen jawatankuasa dan barisan pemain, tidak mustahil untuk kita layak ke Liga Super dengan cara kita tersendiri.
“Apapun, saya berharap setiap perlawanan yang dihadapi pasukan ini dianggap seperti final dan kita perlu memenangi seberapa banyak perlawanan yang boleh untuk kita merealisasikan impian tersebut,” ujarnya.
Ditanya mengenai suara-suara ‘nakal’ yang masih mengaitkan MAFA dengan kelab terdahulu, Nur Azmi sekali lagi menegaskan pihaknya tidak ada kena mengena dengan pasukan yang masih terpalit kontroversi tunggakan gaji itu.
Jelas beliau, fokus utamanya kini hanyalah kepada Melaka FC yang sedang dibentuk dan misinya sebagai Presiden MAFA adalah untuk membangun serta memajukan semula bola sepak Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
One thought on “Teka-teki Melaka FC terlerai 9 Februari ini”
Comments are closed.