Batuk biasa akhirnya ragut nyawa suami

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PANTAI KUNDOR 12 Ogos – Pada mulanya hanya batuk biasa tetapi dalam tempoh amat singkat, ia berubah menjadi penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian suami tercinta.

Tragedi itu dialami jururawat, Nurhaffizzah Jamal, 34 yang terpaksa membesarkan dua anak bersendirian selepas pandemik COVID-19 meragut nyawa suaminya, pagi kelmarin.

Demam dan batuk yang pada mulanya dianggap sebagai gejala biasa pandemik berkenaan tiba-tiba berubah menjadi penyakit amat berbahaya yang menyebabkan kematian Norizuwan Omar, 34.

Nurhaffizzah berkata arwah suami mengalami demam dan batuk pada 3 Ogos lalu sebelum menjalani ujian calitan di klinik swasta pada keesokannya dan disahkan positif COVID-19.

ARWAH Norizuwan bersama Nurhafizzah dan anak mereka, Adriana Darsya (kiri) dan Aleesya Qaisarah ketika mengunjungi lokasi pelancongan di Melaka.

“Arwah sekali lagi menjalani ujian yang sama atas arahan pihak pengurusan kilang tempat arwah bekerja di Alor Gajah pada 6 Ogos dan selepas disahkan positif, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkannya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Arwah berkurung dalam bilik manakala saya dan dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun ketika itu masih belum dipakaikan gelang merah jambu,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling, hari ini.

Menurutnya, pada malam Ahad lalu arwah mengadu sakit dada namun enggan ke hospital kerana menganggap penyakitnya akan segera lega.

Bagaimanapun, menjelang subuh keadaan arwah semakin serius apabila mengalami sesak nafas dan sawan sebelum Nurhaffizzah menghubungi ambulans serta mencuba memberikan pertolongan cemas kepada arwah.

Katanya, Pembantu Perubatan dan jururawat dari Hospital Melaka yang tiba kira-kira jam 6.45 pagi mencuba memberikan pelbagai bantuan kecemasan tetapi arwah tetap tidak memberikan tindak balas positif.

Arwah dibawa ke Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba, sekali gus menyebabkan Nurhaffizzah merasakan dia seakan-akan sukar untuk mempercayai apa yang dialaminya ketika itu.

“Arwah tidak bergejala teruk akibat COVID-19 tetapi dalam sekelip mata sahaja dia pergi meninggalkan saya dan Aleesya Qaisarah yang baharu enam tahun serta Adriana Darsya yang berusia 10 tahun,” katanya.

Dia berkata, arwah pernah berjanji akan membawa mereka bersiar-siar di beberapa lokasi menarik di negeri ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan pandemik COVID-19 semakin reda.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan kerana Allah lebih menyayangi arwah dan jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Darat pada jam 11 pagi kelmarin.

Norhafizah dan dua anaknya mula dipakaikan gelang merah jambu semalam dan menjalani kuarantin kendiri hingga 28 Ogos ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post COVID-19 : Melaka catat lagi 10 kes kematian
Next post Usul undi percaya terhadap PM dibentang di Parlimen 7 September
Ubah saiz-+=