Bawa suara rakyat, fokus pembangunan fasiliti Hang Tuah Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT KATIL 2 November – Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali membawa misi untuk memperjuangkan keperluan dan suara rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata fokus utamanya adalah membabitkan fasiliti yang tidak disuarakan di peringkat Persekutuan sejak hampir 10 tahun lalu.

“Sejujurnya saya mahu menunggu ketika pengumuman penamaan calon yang sebenar nanti, bagaimanapun kita lihat hampir 10 tahun tidak ada wakil di peringkat kerajaan pusat, jadi kebanyakan isu-isu dalam kawasan ini berkaitan dengan fasiliti tidak mendapat perhatian.

“Tetapi kita kena ada wakil yang selari dengan apa yang kita rancang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kerajaan Negeri, fokus saya untuk membawa segala suara dan permasalahan ini di peringkat persekutuan supaya dapat diselesaikan segera.

“Sebab itu ada banyak perkara yang saya mahu fokus bagi memastikan segala keperluan dan permohonan dibuat oleh DUN dalam Parlimen ini mendapat keutamaan dan tindakan yang pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini, hari ini.

Tambah Mohd Ridhwan, sejak tahun 2018, BN Hang Tuah Jaya terus konsisten melaksanakan tanggungjawab dan transformasi untuk memastikan suara dan mandat rakyat terus didengari.

“Kita menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PRU yang lalu dan kita telah melihat apa sebab-sebab utama dan kelemahannya.

“Saya percaya tindakan dan juga pendekatan yang kita buat sejak 2018 mampu memberi impak dan kesan yang baik dalam kita membawa suara dan mandat rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2369
Kongsi :
Previous post Tak perlu bentang ‘karpet merah’ – Shahril Hamdan
Next post Fokus bangunkan semula bola sepak Melaka dari bawah
Ubah saiz-+=