Fokus bangunkan semula bola sepak Melaka dari bawah

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KERAJAAN Negeri akan bersedia dengan perancangan rapi untuk membangunkan semula bola sepak negeri ini bermula dari bawah.

Ia susulan kegagalan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus menyaksikan pasukan itu tidak lagi dapat bersaing dalam aksi liga kompetitif bermula tahun depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri VP Shanmugam berkata, walaupun sedih dengan kegagalan tersebut, namun pihaknya percaya bola sepak Melaka mampu bangkit semula daripada detik hitam menerusi pelaksanaan program di peringkat akar umbi.

Ujar beliau, antara perancangan yang dirangka ialah menerusi pelaksanaan lebih banyak aktiviti sukan di peringkat kawasan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan berkenaan.

“Saya telah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka untuk kita menggiatkan lagi aktiviti sukan di peringkat bawah.

“Sebelum ini, mungkin ada yang menganggap bakat di sekolah sukan negeri (SSN) adalah yang terbaik, tetapi saya masih percaya mungkin ada bakat lebih baik di luar yang kita terlepas pandang.

“Jadi, dengan adanya acara sukan kecil-kecilan di peringkat bawah ini mungkin kita boleh mencari bakat-bakat baharu yang boleh menjadi wakil negeri dan negara suatu hari nanti,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Tambah Shanmugam, hasil program akar umbi itu, beliau berharap ia dapat mewujudkan sebuah pasukan bola sepak dibarisi anak jati Melaka yang mampu memberi cabaran dalam aksi liga kompetitif.

Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap pemain import yang menelan belanja besar seperti apa yang berlaku terhadap MUFC sebelum ini.

“Kita harap selepas ini kita dapat menggunakan bakat-bakat tempatan sepenuhnya kerana kita tidak rugi apa-apa bila bermula dari bawah.

“Mungkin kita boleh merenung kembali ketika era 80-an dahulu yang mana kebanyakan pemain kebangsaan berasal dari Melaka dan mampu beraksi di peringkat antarabangsa.

“Jadi kita kena wujudkan ‘self of belonging seperti itu’. Apapun, ini hanyalah pandangan peribadi saya dan mungkin juga saya salah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6572
Kongsi :
Previous post Bawa suara rakyat, fokus pembangunan fasiliti Hang Tuah Jaya
Next post Program Jom Masuk Kampung dekati penduduk Durian Tunggal
Ubah saiz-+=