Sorting by

×

‘SIFU’ SENI KAYU ASAHAN

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

ASAHAN 2 Mei – Individu ini memilih untuk tidak terlalu menonjol dan bersikap merendah diri meskipun kemahiran dimiliki bukan calang-calang kerana sentuhan seni kayunya mempunyai aura keunikan tersendiri.

Sejak lebih hampir 20 tahun lalu Chee Nyok Chow, 62, terkenal dalam kalangan penduduk Kampung Baru On Lok, di sini, sebagai ‘sifu’ dalam seni kayu kerana menghasilkan pelbagai produk berkualiti dan bernilai tinggi seperti kerusi, set meja, almari, gazebo serta rumah mengikut kemahuan pelanggan.

Apa yang menarik material digunakan adalah kayu daripada rumah lama atau balak yang tidak lagi digunakan kerana terbukti tahan lama atau tidak lapuk dek zaman selain memiliki nilai sentimental tersendiri.

Menurutnya kayu paling lama pernah digunakan gunakan diambil dari sebuah rumah dibina pada tahun 1920 berdasarkan ukiran tertera pada premis berkenaan.

Semuanya dilakukan Nyok Chow kerana memburu kepuasan, baginya daripada kayu berkualiti dibiarkan reput atau dibakar tanpa sebarang faedah lebih baik diberi nafas baharu dan kembali menghiasi kediaman dalam pelbagai bentuk perabot.

“Sebelum menyentuh kayu menjadi produk berkualiti tinggi saya perlu mencari idea terbaik, bukan hari ini sampai ke bengkel terus potong dan paku untuk dijadikan perabot. Malah ada kayu balak dibeli bertahun lalu belum disentuh sampai sekarang, kerana saya belum mendapat idea rekaan yang sesuai.

“Ambil masa yang lama tidak mengapa kerana saya pentingkan kehalusan, jika tersilap potong, akibatnya berlaku pembaziran.

“Saya amat menghargai alam kerana pokok mengambil masa yang lama untuk membesar dan menghasilkan kayu berkualiti tinggi. Semua ini adalah seni, jika wang ringgit dijadikan sandaran sebenarnya tidak ada nilai boleh ditetapkan,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kilang miliknya di Kampung Baru On Lok, di sini.

Kayu
ANTARA hasil seni kayu yang dihasilkan Nyok Chow. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Ketika pertemuan bersama penulis, Nyok Chow berkata, mana-mana individu berminat dalam seni kayu perlu sentiasa tenang, tidak boleh cepat marah kerana setiap prosesnya memerlukan ketelitian.

“Mahu fikir untuk dapat idea atau inspirasi juga lama, perlu rancang dengan teliti bagaimana mahu potong kayu agar tidak membazir seterusnya mensia-siakan material berkualiti tinggi.

“Jika marah-marah fokus akan hilang semuanya jadi tidak kena, berikutan itu ketenangan adalah kunci utama bagi individu berminat untuk berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Nyok Chow juga meluahkan rasa lega kerana anak bongsunya Chee Wei Chen, 28, menunjukkan minat dan sudah boleh diharap untuk mewarisi perusahaan seni kayu yang dimulakannya.

“Sebelum ini saya uji anak dengan menyerahkan satu projek kepadanya, dia laksanakan dengan penuh semangat, tekun dan bersungguh-sungguh, saya berasa amat gembira kerana pelanggan amat berpuas hati dengan hasil kerja anak,” katanya.

Dia dibantu lima pekerja berkemahiran bagi menyiapkan tempahan daripada pelanggan, namun setiap produk mengambil masa untuk disiapkan kerana Nyok Chow amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Menurutnya, kerana kesuntukan masa dan logistik yang terhad, buat ketika ini dia hanya menerima tempahan pelanggan sekitar Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang meskipun ada pelanggan dari Pantai Timur serta Pulau Pinang berminat dengan hasil kerjanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MELAKA BELA KEBAJIKAN OKU, ANAK AUTISME
Next post PELUANG BERMANJA DENGAN HAIWAN COMEL, EKSOTIK DI MENARA TAMING SARI