Sorting by

×

BAYI DISYAKI DIDERA SUDAH SEDAR, SEMAKIN STABIL

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Polis Melaka menafikan khabar angin kononnya bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini tidak sedarkan diri akibat disyaki didera ibu bapanya meninggal dunia ketika sedang dirawat.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi terbabit kini sudah berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka.

“Berita itu (kematian bayi) tidak betul, palsu, jadi kita nasihatkan kepada orang ramai agar mengambil sikap bertanggungjawab, jangan sebarkan perkara-perkara seperti ini.

“Perkembangan bayi itu amat positif, stabil, sihat, sudah sedar dan mula menyusu, berdasarkan keadaan semasa ditunjukkan, mungkin dia sudah boleh dipindahkan ke wad biasa hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Siri 1/2025 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkhairi, siasatan lanjut keatas kedua ibu bapa bayi terbabit yang berusia 22 tahun masih diteruskan pihaknya.

“Motif kenapa suspek bertindak sedemikian dan berapa lama bayi malang itu sudah didera masih dalam siasatan, selain kami juga sedang menunggu laporan perubatan penuh daripada doktor.

“Tetapi berdasarkan pemeriksaan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) didapati terdapat kesan pendarahan lama dalam kepala,” katanya.

Jelas Dzulkhairi, kertas siasatan berhubung kejadian hampir lengkap dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.

“Sebaik kertas siasatan sudah dilengkap ia akan dirujuk ke DPP mungkin dalam satu atau dua hari lagi akan disusuli tindakan pendakwaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post ANGKAT MELAKA RIVER CRUISE SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN DUNIA
Next post TOURISM MELAKA MAHU ANGKAT KONDA KONDI KE PENTAS ANTARABANGSA