
WRUR TANJUNG BIDARA: INISIATIF TURUN PADANG ERAT HUBUNGAN RAKYAT DAN JABATAN BANTUAN GUAMAN
TANJUNG BIDARA 17 September – Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan dan menghargai komitmen Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang turun padang bagi memperluaskan akses, sekali gus meningkatkan pemahaman kepada rakyat berhubung perkhidmatan yang ditawarkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain membina lebih banyak kemudahan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan turut bermaksud memastikan setiap rakyat mengetahui hak, mendapatkan perlindungan undang-undang serta memperoleh akses kepada keadilan apabila diperlukan.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, dalam konteks inilah peranan JBG amat penting bagi membantu rakyatkurang berkemampuan mendapatkan nasihat atau representasi guaman.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dapat memberikan nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat termasuk usaha memperluas kefahaman dan akses masyarakat kepada perkhidmatan undang-undang.
“Saya harap JBG teruskan usaha mendekati masyarakat selain pastikan setiap pembaharuan yang diperkenalkan dapat diterjemah kepada perkhidmatan yang mudah difahami, mudah dicapai serta benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Wacana JBG ‘Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni’ Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sebuah resort, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Mohd Radhi Abas dan Pengarah JBG Melaka, Muhammad Arif Marzuki.
Menurut Ketua Menteri, walaupun bidang kuasa pengurusan bantuan guaman terletak di bawah Kerajaan Persekutuan, realiti permasalahan sebenar berlaku di peringkat negeri dan komuniti.
“Bagi rakyat yang sedang berhadapan dengan masalah mereka tidak mementingkan sempadan bidang kuasa antara jabatan sebaliknya fokus utama adalah untuk mendapatkan bantuan serta jalan penyelesaian sewajarnya.
“Atas dasar itu kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, JBG dan pelbagai institusi berkaitan amat diperlukan selain berharap wacana ini dapat menjadi platform untuk membina sistem rujukan lebih jelas serta bersepadu,” katanya.
Jelas Ketua Menteri, beliau turut menyambut baik perhatian yang diberikan terhadap Khidmat Pendamping Guaman bagi kanak-kanak kerana golongan ini memerlukan perlindungan khusus apabila terlibat dalam proses undang-undang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

