
RM21.5 JUTA PERKASA KESEJAHTERAAN WARGA EMAS, OKU, KANAK-KANAK
TANJUNG BIDARA 17 September – Sebanyak 12 inisiatif membabitkan peruntukan berjumlah RM21.5 juta diluluskan sepanjang tahun ini bagi memperkasa aspek kesejahteraan rakyat khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif dan penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah portfolio beliau bagi memastikan keperluan golongan sasar terus diberi perhatian.
Katanya, antara yang dilaksanakan adalah penambahbaikan peralatan pemulihan dan fisioterapi di Pusat Terapi OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Negeri Melaka, Kajian Penubuhan Pusat Jagaan Warga Emas.
“Malah majlis diadakan ini juga antara inisiatif yang dilaksanakan bagi meraikan tiga golongan sasar yang amat dekat dengan denyut nadi pembangunan masyarakat.
“Bukan itu sahaja, di Melaka juga telah banyak prasarana disediakan khusus untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad serta lain-lain kenamaan.
Menurut Kalsom, ketika ini Melaka mempunyai enam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), tiga PAWE 3A (Anywhere, Any Place, Anytime), 18 PDK dan empat Pusat Aktiviti Kanak-Kanak.
“Kesemua prasarana ini diwujudkan dengan satu hasrat iaitu memastikan rakyat Negeri Melaka mempunyai akses kepada sokongan, penjagaan, pemulihan termasuk aktiviti yang bersesuaian mengikut keperluan mereka.
“Kerana bagi kita, kebajikan bukan sekadar tentang bantuan yang disampaikan tetapi tentang bagaimana memastikan setiap insan terus mempunyai ruang untuk berkembang, berdikari, dihargai dan menjalani kehidupan yang sejahtera,” katanya.
Jelas beliau, pelaksanaan inisiatif serta penambahbaikan dilakukan selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang menegaskan pendekatan inklusif iaitu tidak meminggirkan mana-mana masyarakat untuk disantuni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

