Bekalan telur di luar bandar mencukupi
LENDU 3 Mac – Bekalan telur di kedai runcit kawasan luar bandar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu masih mencukupi untuk menampung permintaan semasa daripada pengguna.
Peniaga, Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 56, berkata dia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan telur gred C, iaitu jenis telur tunggal yang dijual di kedainya.
“Alhamdulillah, pada setiap Rabu saya membuat pesanan 40 papan atau 1,200 telur gred C, pemborong akan hantar ikut jumlah diminta. Tapi di tempat lain katanya ada peniaga yang tidak mendapat bekalan telur dalam jumlah mencukupi.
“Saya tidak jual telur gred A dan B bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Solok Duku.
Pengguna, Abdul Shukor Mohd Ali, 60, berkata meskipun negara berdepan masalah kekurangan bekalan telur sejak bulan lalu, dia tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bahan makanan itu di kedai runcit sekitar DUN ini.
“Seminggu sekali saya beli dua papan telur untuk kegunaan keluarga, alhamdulillah setakat ini, tiada masalah,” katanya ketika ditemui di Kampung Ayer Hitam Darat.
Seorang lagi pengguna Kamariah Abdul Majid, 58, berkata dia juga tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur gred A, B dan C di beberapa kedai runcit di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Alhamdulillah, bekalan sentiasa ada dan saya tidak perlu bersusah-payah ke kedai jauh dari rumah semata-mata untuk mendapatkan telur,” katanya.
Ahad lalu Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datin Roszanina Wahab dilaporkan berkata, kementerian itu menyiasat aduan pengguna berkaitan kekurangan bekalan telur dan ayam di Kota Tinggi, Johor.
Katanya, sepatutnya bekalan telur dan ayam tiada masalah di Johor sehingga Jun ini kerana dijamin mencukupi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.