Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada pertuduhan cabul wanita

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Mahkamah Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili Rasman Ithnain daripada pertuduhan mencabul seorang wanita di dalam sebuah kereta tahun lepas.

Majistret Analia Kamarudin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman, 54.

Peguam Mohamad Alias Rasman ketika dihubungi berkata Analia dalam penghakiman ringkas antara lain menyatakan selepas menilai kebolehpercayaan saksi pendakwaan secara maksimum sepanjang perbicaraan, mahkamah mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman.

“Oleh yang demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan serta wang jaminan dikembalikan semula,” katanya sambil menambah seramai empat saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung pada Ogos tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala Rasman turut diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail.

Tengku Amir Zaki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Rasman didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 27 tahun di Muar pada kira-kira 5 petang 13 Jan 2022 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional Johor itu dalam satu kenyataan menzahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut yang sekali gus dapat menegakkan kebenaran kepada beliau.

Bekas ADUN Sedili yang berkhidmat selama tiga penggal dari 2008 hingga 22 Jan tahun lepas itu juga berkata beliau akan terus komited berbakti kepada rakyat dan menganggap kes tersebut sebagai satu siri ujian terhadap dirinya serta keluarga.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Kebakaran Wisma Jakel: Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat
Next post Polis P.Pinang tumpas geng samun bersenjata api
Ubah saiz-+=