Polis P.Pinang tumpas geng samun bersenjata api

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

GEORGE TOWN, 3 Jan – Polis Pulau Pinang menumpaskan geng samun termasuk menggunakan senjata api selepas menahan lima lelaki dalam siri serbuan di sekitar negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penahanan geng pertama melibatkan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun pada 12.01 tengah malam Ahad (1 Jan) di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai, di Bukit Mertajam dekat sini.

“Penahanan dua lelaki itu susulan laporan polis diterima kami pada 10 malam 9 Dis lepas berhubung kejadian samun bersenjata api di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam dan ekoran insiden tersebut kami menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek terlibat.

“Ketika ditahan, polis merampas sepucuk revolver .38, dua kelongsong bersama tiga butir peluru .38 bersama seorang daripada lelaki itu dan polis tidak menolak kemungkinan mereka mahu melakukan jenayah samun membabitkan kedai serbaneka di sekitar kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya polis turut merampas dua motosikal Yamaha 125z dan SYM, sebuah kereta, dua telefon bimbit, sebilah parang, empat topi keledar dan dua beg silang daripada dua suspek tidak bekerja tersebut.

Mohd Shuhaily berkata dengan penahanan dua lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun bersenjata api di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan geng ini meyasarkan kedai serbaneka beroperasi lewat malam dengan melarikan wang hasil jualan serta telefon bimbit.

Katanya dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah itu direman enam hari bagi membantu siasatan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata dua lagi lelaki berusia 24 dan 25 tahun yang merupakan geng samun berasingan ditahan di Kepala Batas, dekat sini pada 6 petang 25 Dis lepas dan mereka dipercayai terlibat tiga kes samun serta satu curi motosikal di daerah Seberang Perai Utara, dekat sini.

“Mereka ditahan tidak sampai 24 jam melakukan samun menggunakan parang di sebuah kedai serbaneka di Taman Desa Murni, Sungai Dua dekat sini iaitu pada 5.52 pagi membabitkan kerugian RM500 dan keduanya yang positif dadah dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak awal Disember,” katanya kedua-duanya direman sehingga 4 Jan.

Beliau berkata susulan penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis merampas sebuah motosikal Yamaha Y15, topi keledar, tiga telefon bimbit, barangan kemas, beg silang dan wang tunai RM230.

Shuhaily berkata seorang lagi lelaki berumur 30 tahun ditahan di George Town, di sini pada pada 30 Dis kerana terlibat dalam kes ragut sehingga menyebabkan seorang wanita cedera di kaki kiri dan kerugian RM350 dalam kejadian di Jalan Rafeie, Tanjung Bungah di sini.

Katanya dalam kejadian 9.15 pagi 28 Dis itu, suspek yang menunggang motosikal telah menghampiri mangsa sebelum meragut beg tangan wanita tersebut sehingga menyebabkan dia jatuh dan cedera di kaki.

“Berdasarkan siasatan lelaki itu terlibat lima kes samun di daerah Timur Laut dan satu kes curi motosikal di daerah Barat Daya, suspek yang mempunyai sembilan rekod lampau itu dipercayai terlibat jenayah samun ragut sejak Mac tahun lepas,” katanya.

Menurutnya lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 serta 379A (1) Kanun Keseksaan.

“Lima lelaki ditahan itu merupakan geng samun berasingan dan polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi menumpaskan kegiatan samun serta ragut di negeri itu,” katanya.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1715
Kongsi :
Previous post Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada pertuduhan cabul wanita
Next post Pemilihan UMNO boleh dibincangkan pada Mesyuarat Bulanan MT Khamis ini – Ahmad Maslan
Ubah saiz-+=