Bekas EXCO Melaka masih enggan serah kereta rasmi

Masa Membaca:59 Saat

BANDAR MELAKA 10 Okt. – Bekas EXCO kerajaan negeri Melaka masih enggan mengembalikan kenderaan rasminya walaupun sudah diarahkan setelah beliau keluar daripada kerajaan.

Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau hanya akan berbuat demikian sekiranya lain-lain EXCO memulangkan kenderaan rasmi masing-masing kepada kerajaan negeri.

Beliau mahu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Kamel Mohamad menganjurkan “program penyerahan kereta” yang melibatkan semua EXCO termasuk yang berkhidmat dalam kerajaaan sementara (caretaker).

“Saya tidak menggunakan kenderaan rasmi itu, saya simpan kerana saya ada kereta saya sendiri tetapi saya mahu keadilan kerana apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 4 Oktober lalu, sudah tidak ada kerajaan negeri lagi.

“Siapa yang lantik kerajaan sementara (caretaker)? Saya tidak iktiraf kerajaan sementara itu,” katanya dihubungi hari ini.

Dua lagi EXCO, Datuk Seri Utama Idris Haron dan Datuk Noor Effandi Ahmad telah mengembalikan kenderaan rasmi mereka kelmarin.

Ketiga-tiga EXCO itu keluar daripada parti kerajaan Isnin lepas, menyebabkan kerajaan hilang majoriti di DUN Melaka.

DUN kemudian dibubarkan serta-merta, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dalam masa 60 hari.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali semalam meminta Norhizam mengembalikan kenderaan itu kerana beliau sudah meletak jawatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post ‘Tunjuk bukti rakyat sokong tindakan mereka’ – Dominic
Next post Ziarah Kasih dekati rakyat – Sulaiman
Ubah saiz-+=