‘Tunjuk bukti rakyat sokong tindakan mereka’ – Dominic

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BANDAR MELAKA 10 Okt. – “Parti Gerakan mencabar empat (bekas) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka untuk membuktikan tindakan menarik sokongan terhadap Kerajaan Melaka adalah hasrat rakyat.”

Itu cabaran Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai terhadap empat ADUN pro pembangkang yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Mereka kata ini hasrat rakyat, bolehkah mereka tunjukkan bahawa pengundi di tempat masing-masing termasuk Sungai Udang, Pantai Kundor, Telok Mas dan Pengkalan Batu menyokong keputusan mereka?.

“Jika ini memang hasrat rakyat, tunjukkan bukti bahawa rakyat atau pengundi di tempat mereka mahu mereka tarik sokongan kepada Kerajaan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Melaka 2021 di sebuah restoran di sini, hari ini.

Ujarnya, tindakan empat ADUN itu atas sikap mementingkan diri selain tidak mempedulikan nyawa rakyat.

“Mereka wakil rakyat, tetapi mereka tidak mementingkan dan tidak peduli nyawa rakyat,

“Tindakan itu jelas memperlihatkan mereka mempunyai agenda tersendiri atau gila kuasa nak jadi ketua menteri.

“Kita parti Gerakan memang tidak boleh terima tindakan yang telah dilakukan oleh empat ADUN ini,” katanya lagi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Negeri Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Tiada SOP baharu susulan kebenaran rentas negeri- PM
Next post Bekas EXCO Melaka masih enggan serah kereta rasmi
Ubah saiz-+=