Bekas penjawat awam didenda RM25,000 atas kesalahan menerima suapan

Masa Membaca:55 Saat

AYER KEROH 16 Feb. – Seorang bekas Penolong Pegawai Perikanan di Jabatan Perikanan Negeri Melaka didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM4,000 pada 2017.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas meneliti fakta kes, hujah pendakwaan dan rayuan tertuduh, Abd. Rahim Ali, 63, serta menetapkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar.

Tertuduh sebagai penjawat awam, ketika kejadian, didakwa menerima suapan RM4,000 daripada seorang individu, Rahim Maarof, 60, di Jabatan Perikanan Negeri Melaka Batu Berendam antara jam 11.30 pagi hingga 1 petang pada 8 Ogos 2017.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh sebagai upah untuk memberikan kerja-kerja pembekalan tong insulasi 75 liter sebanyak 90 unit bagi program Touch Point jabatan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh diwakili Peguam Augustus Walter CN Jacobs, bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan kepada anak guamnya.

Views:

460
Kongsi :
Previous post Peruntukan RM1.2 juta hapus babi hutan dibentang dalam mesyuarat EXCO
Next post ‘Malang’ berganda keluarga peniaga barangan pembinaan
Ubah saiz-+=