Peruntukan RM1.2 juta hapus babi hutan dibentang dalam mesyuarat EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 16 Feb.- Peruntukan sebanyak RM1.2 juta diperlukan bagi melaksanakan operasi besar-besaran menghapuskan haiwan perosak terutama babi hutan termasuk di 12 pulau di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, permohonan bajet itu akan diusul pihaknya dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) esok.

Beliau berkata, peruntukan itu meliputi kos membina sangkar babi hutan, monyet dan ular dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, peruntukan itu juga akan digunakan bagi anggota PERHILITAN dan beberapa agensi lain untuk membeli peralatan menembak haiwan liar seperti peluru dan kos pengangkutan.

“Menerusi mesyuarat itu yang diadakan pada Rabu (esok), permohonan bagi peruntukan itu akan dibentangkan oleh Pengarah PERHILITAN, Mohd Firrdhaus Mahmod.

“Menerusi bajet yang akan diluluskan itu kita akan laksanakan operasi secara besar-besaran termasuk di 12 buah pulau di negeri ini,” katanya ketika ditemui dalam operasi hapus babi hutan di pekarangan kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan itu digunakan untuk melaksanakan operasi hapus haiwan liar yang mengganggu ketenteraman orang awam dan memusnahkan tanaman pertanian.

“Kita mahu kurangkan populasi haiwan liar terutama babi hutan negeri ini yang memusnahkan tanaman dan pertanian rakyat,” katanya.

Views:

550
Kongsi :
Previous post PERHILITAN tembak 10 babi hutan di beberapa kawasan termasuk kediaman Ketua Menteri
Next post Bekas penjawat awam didenda RM25,000 atas kesalahan menerima suapan
Ubah saiz-+=