Belum terima cadangan PKPD – MKN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 4 Julai – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka belum menerima sebarang maklumat bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ayer Keroh.

Pengarahnya, Mohd Nasrul Menhat berkata, masyarakat perlu bertenang dan menilai maklumat yang disebarkan dengan tepat.

Jelasnya, pelaksanaan PKPD di sesuatu kawasan perlu menjalani beberapa proses dan akan diluluskan di peringkat Sidang Khas MKN oleh Ketua Menteri.

“MKN belum menerima sebarang cadangan dan laporan berhubung pelaksanaan PKPD di Ayer Keroh atau sekitarnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selepas menerima kita akan membawa keperingkat Majlis Jawatankuasa Khas COVID-19 Melaka dan diangkat ke peringkat sidang khas untuk diputuskan pelaksanaannya.

“Setakat ini proses itu tidak berlaku lagi biarpun kita maklum terdapat kluster baharu direkodkan di kawasan itu kita mohon agar penduduk lebih berhati-hati dengan kawalan kendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu boleh dikenal tindakan undang-undang.

“Dalam keadaan ini memang kita perlu risau tapi masyarakat perlu menilai maklumat itu daripada pengesahan pihak berkuasa dan perlu hentikan penyebaran berita yang mengelirukan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, beberapa mesej tular disebarkan dalam aplikasi WhatsApp menyatakan empat lokasi di kawasan terbabit didakwa akan dicadang bagi melaksanakan PKPD berikutan peningkatan kes dari kluster industri direkodkan.

Malah, mendakwa hampir 100 pekerja di setiap kilang disahkan positif COVID-19 berikutan varian Beta dan Delta dikesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Penggunaan katil hospital di Lembah Klang lebih 85 peratus- Dr Adham
Next post Kluster Jalan Kolej Yayasan tamat
Ubah saiz-+=