Beri peluang kepada calon pelapis – Mohamad

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SEREMBAN, 3 Nov – Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu berbesar hati memberi peluang kepada pelapis yang dipilih mewakili parti, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Beri peluang kepada pelapis iaitu orang lain yang dulu menyokong kita semasa kita dicalonkan atau diberi mandat untuk mewakili parti. Jadi ini proses peremajaan parti.

“Pemimpin yang mewakili parti itu merupakan pemimpin yang kita dapati mempunyai kelebihan masing-masing mewakili parti seterusnya menubuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah kepada calon BN Negeri Sembilan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad berkata setiap kali pilihan raya akan timbul isu berkenaan pemilihan calon tetapi isu tersebut akan reda dalam beberapa hari.

“Jangan kita ‘tersangkut kaki’ walaupun ada calon ‘favourite’ tidak dicalonkan atau calon itu sendiri yang mempunyai cita-cita untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya dan menambah adalah penting untuk pemimpin yang tidak tercalon memberi sokongan kepada mereka yang dipilih bagi memikul tanggungjawab pada pilihan raya kali ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad menyerahkan watikah pelantikan kepada lapan calon mewakili BN untuk Parlimen serta mengumumkan calon kerusi Parlimen Jempol dan Kuala Pilah yang masing-masing digalas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Adnan Abu Hasan.

Mohamad pula dicalonkan untuk kerusi Rembau, Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Wing Yin Tinh (Seremban), Ng Kuan Nam (Rasah), Datuk P. Kamalanathan (Port Dickson) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 adalah pada Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian (19 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Kenaikan kadar RMT berkuat kuasa Ahad ini – Radzi Jidin
Next post Eko pelancongan bahagiakan orang Ayer Limau – KM
Ubah saiz-+=