Berlatih untuk menyelamat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 Ogos – Tidak ada kompromi atau sikap ambil mudah jika membabitkan nyawa, berikutan itu Kadet Kor SISPA Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diasuh dengan tahap disiplin yang tinggi setiap kali menjalani latihan bantuan kecemasan membabitkan semua jenis kemalangan.

Terbaharu 51 peserta daripada Kor SISPA 8, 6 dan 4 memperoleh kemahiran baharu mengenai teknik menyelamatkan nyawa selepas menamatkan kursus selama dua minggu dari 14 hingga 28 Julai lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan kadet mengikuti tiga kursus utama iaitu ‘First Responder Life’ Support (FRLS), kursus Metodologi Latihan dan kursus Bakal Pegawai.

Bagi kursus FRLS kadet diajar teknik mengenali anatomi dan fisiologi tubuh manusia, pengurusan saluran pernafasan dan penilaian ‘vital sign’,.

Kemahiran itu penting bagi memberikan rawatan kecemasan berkesan bagi kes membabitkan ‘chocking’ (tercekik), luka dan pendarahan, patah tulang, kecederaan akibat renjatan serta terbakar.

PESERTA kursus bergambar kenangan bersama pegawai kanan dan pegawai bersekutu APM Melaka

Sementara itu kursus Metodologi Latihan membabitkan 19 kadet Kor SISPA 6 yang diberikan panduan mengenai cara merangka dan melakukan persediaan pembelajaran seperti bahan Rancangan Sesi Pengajaran (RSP), pengucapan awam selain pembelajaran dewasa.

Manakala kursus bakal pegawai pula membabitkan 42 peserta Kor SISPA 4 dan 6 terlibat yang menduduki kelas secara teori.

Menerusi kursus itu peserta diberi pendedahan mengenai sahsiah dan etika pegawai, kepimpinan, akta pertahanan awam, tatacara berpakaian seragam, pengurusan krisis dan pengurusan majlis rasmi.

Mereka turut diuji secara praktikal membabitkan kemahiran kawad kaki dan kawad tongkat.

Majlis Penutup Kursus FRLS, Kursus Metadologi dan Kursus Bakal Pegawai Kor SISPA UTeM Sesi 2021/2022 itu berlangsung di Padang Kawad Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, di sini, 28 Julai lalu.

Penutup kursus disempurnakan Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim, selain dihadiri, pegawai kanan dan pegawai bersekutu APM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2466
Kongsi :
Previous post Awie semakin cerewet
Next post Lebih 15 peniaga kecil terima barang asas meniaga
Ubah saiz-+=