Sorting by

×

BERMALAM DI MUZIUM BANTU PELAJAR HAYATI KISAH SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DUYONG 17 September – Bermalam di muzium mungkin kedengaran janggal pada mulanya, namun ia terbukti berkesan sebagai satu langkah unik untuk meneroka cara baharu bagi menghargai dan memahami sejarah negara.

Muzium Hang Tuah di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menjadi antara 31 buah muzium seluruh negara yang menyertai Program Bermalam di Muzium 2025 dengan penglibatan 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek dan SMK Durian Tunggal.

Menerusi program itu, pelajar berpeluang merasai suasana bermalam di ruang yang dipenuhi dengan artifak bersejarah sambil menghayati kisah-kisah sejarah mengenai pahlawan Melaka.

Salah seorang pelajar, Muhammad Farhan Muhammad Jahanzaib, 15, berkongsi keterujaannya apabila buat kali pertama dapat merasai pengalaman bermalam di muzium.

“Sebenarnya tempoh dua hari satu malam tidak mencukupi dan sepatutnya dilanjutkan kepada tiga hari dua malam kerana aktivitinya yang begitu menyeronokkan.

“Banyak aktiviti menarik dijalankan termasuk ceramah daripada tokoh hebat menjadikan pengalaman ini sangat bermakna dan berharga, apatah lagi apabila dapat bersama kawan-kawan.

“Program ini lebih mengujakan apabila saya mendapat tahu ada sekolah lain yang turut serta. Jadi saya dapat berkenalan dan menambah rakan baharu di sini,” katanya.

Sementara itu, Nur Aimi Irdeena Muhammad Daniel, 15, pula menyifatkan program tersebut sebagai satu usaha yang amat baik dalam memberi pendedahan kepada generasi muda untuk menyelami kisah sejarah.

Dia turut memuji inisiatif tersebut dan menyarankan pelajar lain agar tidak melepaskan peluang untuk menyertainya apabila program itu dianjurkan pada masa akan datang.

“Saya rasa semua sekolah perlu sertai program yang ‘best’ ini. Program ini sangat menyeronokkan kerana dapat belajar banyak perkara baharu.

“Bagi saya, aktiviti yang paling menarik adalah menghasilkan miniatur secara berkumpulan. Saya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan baharu dan hubungan kami menjadi lebih erat dan mesra seperti sebuah keluarga,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini, sebanyak tujuh program Bermalam di Muzium 2025 telah dianjurkan melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post LEMAK MANIS, SAJIAN PENYEJUK TEKAK BUAT ‘KAKI CHILL’
Next post PENYU ILHAM HASILKAN CENDERAHATI