Biasiswa bernilai RM893,000 diberikan kepada tujuh pelajar UTP

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Biasiswa bernilai RM893,000 diberikan kepada tujuh pelajar yang mengikuti program Sarjana Sains Kejuruteraan Penggerudian bagi sesi Januari 2022 di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), oleh Baker Hughes, Velesto Energy Berhad dan PETRONAS.

Naib Canselor UTP Profesor Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam satu kenyataan berkata UTP amat menghargai rakan industri yang menyokong universiti itu dalam membangunkan tenaga kerja mahir untuk masa depan industri berkenaan.

“Sokongan pihak industri ini menandakan hubungan dan kerjasama yang baik antara UTP dan industri selaras dengan aspirasi kami untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rakan kongsi pilihan untuk industri dan komuniti saintifik,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu, dua pelajar dianugerahkan biasiswa Yayasan UTP-Baker Hughes dan Yayasan UTP-Velesto Energy Berhad masing-masing bernilai RM117,000 dan RM126,000, manakala PETRONAS menaja lima pelajar dengan biasiswa bernilai RM650,000.

Program Sarjana Kejuruteraan Penggerudian UTP melengkapkan para mahasiswa dengan pengetahuan dan kemahiran yang dipertingkatkan yang memenuhi permintaan industri minyak dan gas dalam bidang kejuruteraan penggerudian serta badan saintifik penyelidikan dan pembangunan.

Melalui penggabungan UTP dengan PETRONAS, program ini menawarkan peluang kepada pelajar untuk memiliki pelbagai sistem penyampaian yang banyak melibatkan pemain industri utama dengan teknologi canggih dan terkini.

Sempena majlis ini, penyampaian cek contoh biasiswa berkenaan telah diadakan di kampus UTP dengan dihadiri Dr Mohamed Ibrahim; Ketua Teknologi Perigi dan Jaminan Teknikal PETRONAS Jumasri Terimo; Naib Presiden Perkhidmatan Medan Minyak Asia Pasifik Baker Hughes Fadi Al-Jafari; Presiden Velesto Energy Berhad Rohaizad Darus; dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UTP Anwarudin Saidu Mohamed.

Untuk maklumat lanjut mengenai program atau permohonan boleh e-mel kepada [email protected] BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1850
Kongsi :
Previous post Jiran gadai nyawa selamatkan warga emas
Next post TYT dan 700 jemaah hadiri sambutan malam Nisfu Syaaban
Ubah saiz-+=