Sorting by

×

BIDANG TVET KINI JADI PILIHAN UTAMA PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL – Sebanyak 62,386 permohonan untuk mendapatkan tempat pengajian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dicatatkan dalam Sistem UPUOnline sehingga Mei 2025 memberi gambaran jelas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan dan tumpuan utama pada masa kini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, angka itu merupakan tertinggi dan menunjukkan peningkatan yang ketara bahawa bidang pengajian tinggi TVET kini terus menjadi fenomena dan pilihan utama dalam negara.

Jelasnya, angka berkenaan adalah jumlah permohonan daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 24,575 permohonan manakala lepasan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM), matrikulasi, diploma dan setaranya pula adalah sebanyak 37,812 permohonan.

Ujarnya, perbandingan peningkatan jelas jika dibandingkan dengan jumlah permohonan tahun lalu adalah sebanyak 54,915 yang mana lepasan SPM sebanyak 22,454 permohonan manakala lepasan SPM dan setaraf pula adalah sebanyak 32,461 permohonan.

“Perbandingan peningkatan bagi jumlah permohonan bagi tahun 2025 berbanding dengan tahun 2024 adalah meningkat sebanyak 13.5 peratus dan ia dipengaruhi oleh banyak faktor.

“Antaranya adalah seperti mana sedia maklum kini TVET telah menjadi satu fenomena baharu dalam negara dan para pelajar serta ibu bapa kian menyedari bahawa TVET adalah bidang tumpuan pilihan ramai.

“Ia adalah ekoran kepada permintaan tenaga kerja nasional yang tertumpu dalam bidang TVET bagi merancakkan proses pemacuan kemajuan dan kemodenan nasional dalam pelbagai sektor perindustrian,” katanya.

Katanya, antara faktor penarikan utama lain adalah faktor UTeM yang merupakan Universiti TVET Terbaik di Malaysia yang merupakan peneraju TVET Termaju yang terus mempamerkan kecemerlangan berterusan dalam dan luar negara.

“Ini terbukti dengan rantaian kejayaan seperti kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) UTeM 2024 mencapai 98.1% dan menjadi Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award).

“Pada masa yang sama UTeM dilengkapkan dengan Pelan Strategik 2023-2025 yang jelas dengan Teras 1 Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya dan agenda ini merupakan hala tuju yang jelas,” katanya lagi.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post MELAKA JEMPUT BELANDA MERIAHKAN WTD 2025