BN Melaka perjuang HSR KL-S’pura diteruskan jika diberi mandat

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI BENDAHARA 11 Nov – Melaka tidak akan membenarkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) melalui negeri ini sekiranya ia hanya berakhir di Johor Bahru dan bukannya Singapura.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan laluan dari Kuala Lumpur hingga ke Singapura amat penting dalam bukan sahaja mengurangkan kesesakan, bahkan membawa limpahan ekonomi buat negeri ini.

Sehubungan itu, tegas beliau, perkara itu akan diberikan keutamaan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir Melaka.

“Sebab itu saya kata dalam manifesto kita, jika BN diberi mandat baharu, saya minta penyambungan semula projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura diberi keutamaan.

“Jika BN diberi mandat baharu, saya akan menolak dan tidak memberi kelulusan kepada projek HSR jika ia hanya berakhir di Johor dan bukannya Singapura.

“Lihat sahajalah kesesakan yang berlaku di Melaka bila tiba hujung minggu (bila pelancong dalam dan luar negara masuk ke negeri ini), jadi jika HSR dibuat sehingga Singapura saya percaya mereka boleh datang ke Melaka menaiki kereta api dan terus ke Melaka Sentral dengan beberapa jajaran baharu yang akan kita buat.

“Jadi, saya percaya manfaat untuk Melaka akan lebih besar sebab sejak awal dahulu saya memang bersetuju laluan dari Kuala Lumpur ke Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas di kediaman rasminya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura memutuskan pembatalan projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir hujung Disember tahun lalu.

Laluan kereta api sejauh 350 kilometer yang pada mulanya telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pada 2013 itu akan bergerak dari stesen terminal pusat bandar Kuala Lumpur ke terminal di Jurong East, Singapura, selain turut melibatkan hentian di Melaka.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau mempunyai perancangan tersendiri sekiranya HSR Kuala Lumpur – Singapura diteruskan.

Antaranya mewujudkan jajaran baharu dari stesen HSR Melaka ke Melaka Sentral, selain turut bercadang memperluaskan laluan itu sehingga ke Zon Ekonomi Pesisir Pantai (M-WEZ).

“Jadi sepanjang jajaran ini nanti akan berlaku pembangunan ekonomi yang menghubungkan satu tempat ke tempat yang lain,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

595
Kongsi :
Previous post Sektor pelancongan, perikanan Tanjung Bidara tumpuan utama BN
Next post Berkempen guna lori, dekatkan diri dengan pengundi
Ubah saiz-+=