BN tidak sokong PH atau PN, setuju jadi pembangkang – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu menerusi catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan setakat ini, BN bersetuju menjadi pembangkang.

“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan. BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Ismail Sabri adalah antara yang hadir pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Pengerusi BN Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Tan Sri SA Vigneswaran serta Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tiada surat akuan berkanun ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN pada mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu hari ini.

Selain itu, katanya mesyuarat hari ini juga tidak mencadangkan sebarang nama untuk jawatan Perdana Menteri.

“Kami bersolidariti dalam kesatuan iaitu tunggu keputusan pucuk pimpinan untuk menentukan hala tuju kami,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu.

Turut mengesahkan tiada surat akuan berkanun ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN hari ini adalah Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
Sementara itu, Vigneswaran yang juga Presiden MIC berkata keputusan untuk BN menjadi pembangkang buat masa ini dicapai sebulat suara dalam mesyuarat tersebut.

“Jadi pembangkang pada kali ini,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Menara Dato’ Onn.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1651
Kongsi :
Previous post Lebih baik BN jadi pembangkang – Hishammuddin
Next post Lelaki gagal seludup lebih RM830,000 syabu ke luar negara ditahan
Ubah saiz-+=