Bola sepak kerja berpasukan, jangan salahkan permain tertentu- Cheng Hoe

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 12 Jun – Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengambil pendirian tidak mahu menyalahkan mana-mana pemainnya atas kekalahan 1-2 skuad negara menentang Vietnam di Al Maktoum Stadium di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal hari ini.

Bagaimanapun, Cheng Hoe yang kehilangan ayahnya kira-kira 12 jam sebelum sepak mula, berkata bola sepak adalah kerja berpasukan dan berharap anak buahnya akan berusaha meningkatkan prestasi dan bermain sebagai satu pasukan untuk muncul sebagai skuad yang hebat pada masa depan.

CHENG Hoe memberikan arahan kepada pemainnya. Foto- FAM.

Bapanya, Tan Chooi Siak, 95, meninggal dunia kerana sakit tua pada kira-kira 12 tengah hari semalam, di Alor Setar, Kedah.

Mengulas perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi Kumpulan G itu, jurulatih berusia 53 tahun tersebut berkata anak buahnya tidak bernasih baik kerana bolos dua gol menerusi ‘set piece’ (gerak terancang).

“Secara keseluruhan, saya sebagai jurulatih sangat gembira dengan prestasi pemain kita, walaupun kalah. Perlawanan itu satu pertembungan yang sukar, namun setiap pemain sangat komited, berdisiplin di atas padang, mungkin disebabkan peralihan, kita hilang tumpuan semasa set piece,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Dubai.

Rakaman audio itu dikongsikan dengan media tanah air oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia.

“Memang kita ada peluang, kita lakukan serangan, kedua-dua pasukan bermain secara terbuka dan cuba mendapatkan kemenangan, malangnya kita gagal memenangi perlawanan itu. Saya sangat-sangat percaya yang anak buah saya bermain dengan baik hari ini, kita cuma perlu meningkatkan lagi prestasi semasa berdepan Thailand nanti,” tambah Cheng Hoe.

Pemain gantian, Akhyar Rashid bersaing dengan pemain Vietnam. Foto- FAM.

Skuad Golden Dragon membuka jaringan menerusi tandukan bertenaga Nguyen Tien Linh pada minit ke-27 susulan sepakan sudut, sebelum Harimau Malaya menyamakan kedudukan menerusi Guilherme de Paula yang memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-72.

Bagaimanapun, Vietnam memastikan tiga mata milik mereka menerusi tendangan penalti Que Ngoc Hai yang hadir 10 minit kemudian menerusi satu keputusan yang dipertikaikan oleh peminat.

Selepas dua kekalahan berturut-turut dan terlepas peluang layak ke pusingan ketiga Piala Dunia Qatar 2022 serta kelayakan automatik ke Piala Asia, Cheng Hoe mahu anak buahnya menumpukan perhatian pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand pada pagi Selasa ini, bagi memastikan laluan lebih mudah untuk kelayakan Piala Asia.

Guilherme de Paula memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-72. Foto FAM.

“Perlawanan menentang Thailand ini juga tidak akan mudah kerana mereka dapat berehat lebih lama berbanding kita (selepas tewas 1-3 kepada UAE pada Isnin).

“Sebagai jurulatih, tentunya saya perlu memastikan pemain kembali cergas dan bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” kata beliau.

Vietnam yang belum lagi tewas menerajui Kumpulan G dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata), Thailand (9), Malaysia (9) dan Indonesia dengan satu mata.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

646
Kongsi :
Previous post Bekas penolong Setiausaha Agung FAM, Noor Kefli Sulong meninggal dunia
Next post ‘Beku’ lesen perlombongan selepas pewartaan Hutan Simpan Chini 2019
Ubah saiz-+=