Boleh guna tong beli petrol, diesel bawah 20 liter – Hee Sem

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

REMBIA 30 Julai – Penggunaan tong drum, plastik dan bekas bersesuaian adalah dibenarkan untuk pembelian petrol dan diesel di bawah 20 liter di mana-mana stesen minyak negeri ini.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, ia bagi menjawab aduan orang ramai yang mendakwa dilarang membeli petrol dan diesel menggunakan tong di stesen minyak.

Katanya, isu itu berkemungkinan berlaku disebabkan terdapat kekeliruan daripada pengusaha stesen minyak.

“Ada stesen minyak yang keliru ingat tidak boleh jual. Sebenarnya boleh dengan syarat di bawah 20 liter.

“Sebagai contoh pekebun kecil atau nelayan yang terputus bekalan dan perlu membeli minyak, jadi mereka boleh membawa tong ke stesen minyak untuk membeli petrol atau diesel,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang pembuatan mainan kanak-kanak di kawasan perindustrian Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Hee Sem bagaimanapun berkata, bagi pembelian petrol dan diesel melebihi 20 liter, mana-mana individu, syarikat berskala kecil atau organisasi perlu memohon permit khas daripada KPDNHEP selari dengan akta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tegasnya, premit khas itu diwujudkan bertujuan bagi mengelakkan barang kawalan itu diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, permit itu boleh dimohon secara dalam talian menerusi sistem Mysubsidi Permit Khas di portal http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau datang terus ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran.

“Tempoh kelulusan permit itu adalah dalam tempoh kurang tujuh hari dan mereka yang layak boleh menggunakan permit itu selama setahun,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7480
Kongsi :
Previous post Harga minyak masak botol turun serendah RM29
Next post KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia
Ubah saiz-+=