KKM mansuh keperluan isi kad pengembara untuk masuk Malaysia

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Berkuat kuasa Isnin ini (1 Ogos), semua pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke negara ini.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.

“Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan,” katanya.

Khairy berkata selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Justeru, beliau berkata semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan dinasihatkan ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

598
Kongsi :
Previous post Boleh guna tong beli petrol, diesel bawah 20 liter – Hee Sem
Next post Rohana ditawarkan pengajian di UTeM
Ubah saiz-+=