Tiada sekatan pergerakan dalam daerah sama mulai esok.

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 16 Feb. – Orang ramai termasuk di negeri yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan bergerak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan itu bagaimanapun masih terbatas kerana larangan merentas daerah dan negeri masih dikekalkan.

“Sidang Khas hari ini bersetuju bahawa syarat pergerakan dalam radius 10 kilometer dibatalkan berkuat kuasa hari ini. Ini bermaksud pergerakan dalam daerah yang sama adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan rentas daerah dan rentas negeri di seluruh negara masih tidak dibenarkan, kecuali rentas daerah bagi negeri Perlis (PKP Pemulihan) adalah dibenarkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, hari ini.

Sebagai contoh, bagi rakyat negeri ini yang berada di dalam Daerah Melaka Tengah, dibenarkan melakukan pergerakan melebihi radius 10 km dengan syarat ia tidak merentasi sempadan Daerah Alor Gajah dan Jasin.

Selain itu, dalam sidang media sama, Ismail turut memaklumkan bilangan penumpang bagi kenderaan di negeri PKPB kini telah dibenarkan mengikut jumlah tempat duduk kenderaan.

Ujarnya, makan di kedai juga sudah dibenarkan mengikut keluasan meja dengan syarat ada penjarakan satu meter setiap seorang.

“Selain itu, aktiviti ekonomi di kawasan PKPB turut dilanjutkan dari jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam, selain majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri, akikah, doa selamat, tahlil dibenarkan dengan had kehadiran 50 peratus kapasiti tempat,” katanya.

Terdahulu, Ismail mengumumkan Melaka, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah kini dilonggarkan kepada PKPB bermula Jumaat, susulan kes semasa COVID-19 di seluruh negara menunjukkan perubahan.

Bagaimanapun, empat lagi negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang masih kekal dengan PKP berikutan kes yang direkodkan masih lagi tinggi.

Views:

412
Kongsi :
Previous post PKPB di Melaka dan beberapa negeri bermula Jumaat
Next post Melaka kekal catat kes COVID-19 di bawah 20
Ubah saiz-+=