Bomba bantu angkat mayat wanita 230 kg ke Hospital Melaka.

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

CHENG 22 Julai – Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah memindahkan mayat wanita ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka awal pagi tadi.

Wanita berusia 33 tahun seberat 230 kilogram itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh suaminya di rumah mereka di Taman Desa Damai, di sini pada jam 3 pagi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anggota polis memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 7.09 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan itu anggota bomba BBP Melaka Tengah dan turut dibantu anggota BBP Tangga Bantu yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) bergegas ke lokasi kejadian.

MAYAT wanita obesiti ditemui di ruang tamu rumahnya. Foto ihsan JBPM.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati mangsa terbaring di tepi sofa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Suami mangsa memaklumkan mangsa mempunyai penyakit asma dan ketika kejadian mangsa duduk di sofa berkenaan sebelum jatuh tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkhairani berkata, enam anggota bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung sebelum dipindahkan ke dalam lori angkut bomba.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengangkat mangsa sebelum mayatnya dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Operasi penyelamatan tamat pada jam 8.25 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

968
Kongsi :
Previous post Perjuangan atlet Malaysia buru emas pertama Olimpik bermula
Next post Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana Armada RM1 juta, salah guna wang untuk kempen PRU14
Ubah saiz-+=