Sorting by

×

Bomba Melaka tidak mahu kompromi

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 1 APRIL – “Akur Notis Pematuhan atau diheret ke mahkamah,” Itu amaran Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain kepada 320 pemilik premis perniagaan di seluruh negeri ini.

Abu Bakar berkata, dalam kerancangan membuat tawaran sempena Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi pemilik premis perlu memastikan bangunan mereka berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, balai bomba di setiap zon diarah melakukan pemeriksaan secara komprehensif bagi memastikan pusat beli-belah, hotel dan dewan perhimpunan mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Kami tertumpu di premis yang ramai kunjungan awam orang awam kerana kita mahu pastikan bangunan itu selamat dikunjungi dan bebas daripada risiko kebakaran.

“Banyak hotel membuat tawaran harga berbuka puasa dan kita mahu periksa agar tiada risiko kebakaran atau berlaku ketidakpatuhan.

“Sempena perayaan nanti, pusat beli-belah membuat tempahan barang yang lebih banyak daripada biasa, jadi kita tidak mahu ada barang yang disimpan di tempat tidak sepatutnya seperti tangga, sehingga menghalang laluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pentauliah Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan tersebut akan bermula seminggu selepas Ramadan dan bersambung dua minggu perayaan Aidilfitri.

“Selain mematuhi standard keselamatan, kita juga akan periksa keperluan alat keselamatan pada premis dan jika berlaku ketidakpatuhan ini, notis pematuhan akan dikeluarkan.

“Pemilik premis diberi masa 14 hari untuk mematuhi notis tersebut dan jika masih berdegil, kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Bomba 341 yang mana, pemilik boleh dikompaun RM5,000 jika didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Menurut Abu Bakar, berdasarkan rekod terdahulu, banyak dalam kalangan pemilik premis gagal mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

“Untuk kali ini saya telah tegaskan kepada semua pegawai, kita tidak mahu kompromi dan akan lebih tegas bagi memastikan pemilik premis mematuhi syarat serta melengkapkan alat keselamatan bomba setiap masa.

“Memang banyak berlaku ketidakpatuhan pemilik premis terhadap peraturan keselamatan bomba ini namun kita akan tetap mengingatkan serta memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan isu ini,” ujarnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1661
Kongsi :
Previous post ‘Alhamdulillah, saf semakin rapat’
Next post Sambutan 76 tahun: RTM perlu ‘rejuvenasi’ untuk kekal relevan – Annuar
Ubah saiz-+=