Sorting by

×

BOT PANCUNG BAWA 20 PATI DITAHAN DI PERAIRAN TANJUNG KLING

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PANTAI KUNDOR 18 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan sebuah bot pancung yang membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Tanjung Kling, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang memperoleh laporan menerusi Sistem Trafik Kapal (VTS) Klang.

Berikutan itu, katanya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi di bawah Op Patkor Optima sebelum mengesan sebuah bot pancung berwarna biru dalam keadaan hanyut pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling jam 9.25 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 20 orang termasuk seorang tekong, seorang awak-awak serta 18 penumpang terdiri daripada 15 lelaki termasuk dua kanak-kanak dan lima perempuan.

“Semua penumpang berusia antara 9 hingga 45 tahun dan dipercayai warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati bot itu dalam perjalanan menuju ke perairan Pulau Besar untuk memindahkan PATI ke bot lain, namun usaha mereka terbantut apabila kedua-dua enjinnya rosak.

“Kesemua mereka bersama bot terbabit kemudian ditunda ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Salehuddin menegaskan cubaan kemasukan PATI secara haram melalui laut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam nyawa kerana bot pancung yang digunakan kebiasaannya uzur, sesak dan tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran masuk ke Malaysia secara haram yang dipromosikan melalui media sosial kerana kebanyakan sindiket penyeludupan menggunakan platform berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau kemasukan PATI boleh menyalurkannya segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post LELAKI BARING ATAS JALAN MAUT DIGILIS LORI
Next post 5 DEKAD, KRT WATAK PENTING PERKUKUH PERPADUAN DI MELAKA