Buaya ‘viral’ dipercayai dari Sungai Linggi
TANJUNG BIDARA 20 Februari – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan buaya ‘viral’ kerap muncul di pesisir Pantai Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi berasal berhabitat di Sungai Linggi.
Pengarahnya, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, Sungai Linggi merupakan habitat terbesar buaya di Alor Gajah khususnya buaya tembaga dengan merekodkan kira-kira 200 hingga 260 ekor pelbagai saiz.
Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dan setakat ini belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini atau serangan reptilia itu.
“Serangan belum ada lagi kerana sumber makanan reptilia ini sekitar habitatnya masih banyak, cuma yang menjadi kerisauan adalah masyarakat awam, kita mahu pastikan masyarakat selamat, jadi ini merupakan langkah awal diambil pihak berkuasa.
“Pemasangan perangkap di dua lokasi juga dilakukan. Selepas dua minggu jika buaya itu belum masuk perangkap kita akan alihkan ke lokasi lain dan berterusan bagi tempoh dua bulan ini.
“Cuma kita ingatkan kepada pengunjung kalau nampak buaya di kawasan pantai mereka perlu jauhkan diri, meskipun pada kebiasaan reptilia itu akan beredar jika menyedari kehadiran manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama Operasi Mencegah, Menangkap dan Pemindahan Buaya di Kompleks Perahu Layar, Pengkalan Balak, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.