Budimu disanjung tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

LENDU 14 Sept. – Budi seorang guru mendidik 31 pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), Masjid Tanah di sini hari ini diberikan penghargaan pada majlis persaraan beliau.

Deraian air mata 31 pelajar terbabit mengiringi langkahan kaki guru yang diamat disayangi mereka, Siti Saripah Jazuli meninggalkan SMKHK.

Selepas 12 tahun menabur budi mendidik pelajar Pendidikan Khas di sekolah berkenaan, Siti Saripah, 58, mengucapkan selamat tinggal kepada 31 pelajar terbabit dan 731 pelajar lain serta 83 guru.

Bagi menghargai jasanya, guru dan pelajar sekolah itu meraikan persaraan beliau dengan menyediakan kereta kuda yang membawa Siti Saripah mengelilingi persekitaran sekolah sebelum diarak di atas tandu yang dicipta khas untuk majlis itu.

SITI Saripah Jazuli tiba di dewan terbuka selepas diarak menaiki kereta kuda pada majlis persaraannya di SMKHK.

Sejurus tiba di dewan terbuka sekolah berkenaan dengan menaiki kereta kuda yang ditarik kuda betina ‘Mary,’ guru terbabit diarak dengan menaiki tandu oleh empat pelajar Pendidikan Khas.

Turut hadir, Pengetua, Noridah Abdul Rahim dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah.

Seramai 31 pelajar Pendidikan Khas berusia antara 13 hingga 18 tahun yang dikategorikan sebagai pelajar kefungsian rendah dan sederhana tidak dapat menahan air mata apabila wakil mereka, Mohd Jamali Dolmat, 17, berucap bagi menyampaikan penghargaan kepada guru terbabit.

Siti Saripah yang ditemui selepas itu berkata, beliau amat teruja diraikan dalam majlis yang disifatkannya sebagai amat mengharukan dan tidak akan luput daripada ingatannya buat selama-lamanya.

“Saya sangat berbangga apabila pelajar mampu membaca dan menulis walaupun pada awalnya mereka tidak mengenal sebahagian besar huruf.

“Dengan didikan yang tidak mengenal erti putus asa, Alhamdullillah mereka mampu berkomunikasi dengan adab yang baik dan mengingati saya walaupun sudah bekerja serta berumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa tidak harus berputus asa jika anak mereka mengalami masalah pembelajaran kerana guru Pendidikan Khas sentiasa berusaha mengasah minda anak mereka supaya mampu mengenal huruf dan membaca serta menulis.

Siti Saripah yang memiliki dua anak masing-masing berusia 17 dan 19 tahun itu sudah kehilangan suami tersayang akibat barah paru-paru pada 2016.

Views:

539
Kongsi :
Previous post Hakisan Pantai: Kerajaan negeri tidak lepas tangan
Next post Tanah terbiar seluas 3,269 hektar harus dimajukan – KM
Ubah saiz-+=