Bukit Melaka: Jangan ugut, jangan cuba jadi pengkhianat

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – Individu atau pihak tertentu yang cuba mengugut kerajaan negeri mengenai isu pertukaran nama Bukit St Paul kepada nama Bukit Melaka boleh dianggap sebagai pengkhianat negara, tegas EXCO Warisan Negeri Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab desas-desus terdapat cubaan pihak tertentu mahu membawa isu berkenaan ke pihak Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar menarik semula status Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia sekiranya nama itu ditukar.

Muhammad Jailani menegaskan tiada isu berhubung penukaran nama tersebut memandangkan Bukit Melaka sememangnya sudah termaktub dalam sejarah sejak 1400 Masihi sebelum namanya ditukar ketika era penjajahan Belanda dan Portugis.

“Mereka yang cuba sabotaj atau ugut kita, silakan. Sebab saya nak kenal sangat siapa mereka-mereka ini yang cuba menjadi pengkhianat.

“Bagi saya mereka yang cuba merosakkan status UNESCO di Melaka adalah pengkhianat. Ini kerana mereka mahu mengkhianati sejarah Melaka.

“Kena ingat, dalam hal ini kerajaan negeri tidak menyentuh elemen agama atau bangsa, kita tidak menukar nama gereja, kuil atau tokong, tetapi kita hanya menukar nama bukit ini kepada nama asalnya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sesi hari terakhir, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang turut memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan berkata, kertas kerja bagi penukaran nama Bukit Melaka itu telah disiapkan sejak dua tahun lalu dan beliau berharap pertukaran itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, sekiranya status itu dimuktamadkan, pihaknya akan mengadakan majlis perasmian bagi memperkenalkan semula nama bukit berkenaan kepada pelancong.

“Kita juga mendedahkan mengenai apa itu Bangsa Melaka. Suatu ketika dahulu nama Bangsa Melaka begitu gah kerana semua kaum, agama dan bangsa berpaksikan kepada nama berkenaan dan bersama-sama cuba mempertahankan Melaka.

“Jadi, kita mahu sejarah dan asimilasi pelbagai kaum itu dikembalikan demi mewujudkan masyarakat yang harmoni di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

890
Kongsi :
Previous post Mahkamah jenayah antarabangsa mulakan siasatan aktiviti Rusia di Ukraine
Next post 160 ‘projek sakit’: 92 dalam tindakan ICU, 41 berjaya dipulihkan – Mustapa Mohamed
Ubah saiz-+=