Buli: Melaka ‘tanya khabar’ sekolah asrama, harian

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Pasukan Petugas (task force) bagi menangani kes buli di Negeri Melaka akan diperkasa dan diperluaskan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurutnya, ‘task force’ yang diwujudkan menerusi program Pembangunan Sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) Negeri Melaka itu akan menjelajah ke sekolah-sekolah seluruh negeri bagi memberi pendedahan dan penerangan kepada pelajar untuk menjauhi kegiatan buli.

Menurut Rahmad, Melaka merupakan negeri pertama dalam Malaysia mewujudkan pasukan petugas berkenaan sejak beberapa tahun lalu yang mana ia kini ditambah baik termasuk membawa kaunselor ke sekolah-sekolah untuk beri nasihat kepada pelajar.

“Buat masa ini, pengisian program ini lebih tertumpu kepada sekolah berasrama khususnya yang terdapat kes buli dan selepas ini ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah harian.

“Melalui program ini, kita mahu beri kesedaran kepada pelajar bahawa buli dan kekerasan merupakan satu amalan yang dilarang kerana ia boleh menyebabkan kecacatan, kematian dan kesan emosi kepada mangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai task force Program Pembangunan Sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) Negeri Melaka di sebuah sekolah berasrama, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan, program berkenaan menerapkan modul 5P kepada pelajar yang merangkumi aspek Penegasan, Penghukuman, Penyedaran, Pemerhatian dan Penyuraian.

“Modul pertama ialah PENEGASAN iaitu menegaskan tindakan buli menyalahi peraturan sekolah/asrama yang perlu dipatuhi pelajar, diikuti PENGHUKUMAN iaitu penjelasan hukuman yang boleh dikenakan kepada pembuli berdasarkan undang-undang.

“Seterusnya, PENYEDARAN iaitu memberi kesedaran kepada pelajar tentang keistimewaan mereka yang tinggal di asrama melalui elemen sejahtera, manakala PEMERHATIAN pula ialah lawatan ke dorm sebaik tiba di lokasi dan ulasan akan diberikan.

“Modul terakhir iaitu PENYURAIAN pula memberi rasional kepada murid bagi memastikan murid pulang ke dorm dalam keadaan emosi yang stabil dan selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5296
Kongsi :
Previous post ‘Stairway To Heaven’ ditutup sementara – MPAG
Next post Kajian menyeluruh sebelum pertimbang lampu isyarat
Ubah saiz-+=