Cabutan bertuah TMM2024 tawar hadiah ‘wow’

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

SERI NEGERI 25 Januari – Pelancong, pengunjung dan rakyat Melaka berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk lapan buah kereta bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Berita baik itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan hadiah menarik itu antara daya tarikan yang ditawarkan Kerajaan Negeri bagi merancakkan lagi sambutan TMM2024, tahun ini.

Menurut Ab Rauf, selain lapan kereta termasuk sebuah kereta elektrik, mereka yang bertuah juga berpeluang memenangi 10 buah motosikal Yamaha Y15 yang turut ditawarkan menerusi cabutan bertuah bercuti dan menang.

Ia jelas beliau, sekali gus menjadikan hadiah yang ditawarkan meningkat kepada 18 buah kenderaan untuk dimenangi.

“Kita akan menambah lagi (hadiah cabutan bertuah) dari semasa ke semasa dan kita akan umumkan pemenang demi kelestarian rakyat Melaka.

“Kali ini, keterbukaan Kerajaan Negeri membuka peluang kepada semua yang datang ke Melaka termasuk rakyat negeri ini untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan.

“Sesiapa sahaja boleh (menyertai), tidak terhad kepada penjawat awam, wakil rakyat juga boleh menyertai malah media juga dan saya akan buka satu kaedah baharu yang baharu untuk merakyatkan TMM2024 kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hadiah Cabutan Bertuah TMM2024 di perkarangan lobi Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Turut sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.

Pada majlis itu, Ab Rauf mewakili Kerajaan Negeri menerima sumbangan sebuah kereta Proton X50 bernilai bernilai RM86,000 dan sebuah kereta elektrik BYD Dolphin bernilai RM99,900 oleh Amerivexx International Sdn Bhd dan Scientex Heights Sdn Bhd.

Menurut Ketua Menteri syarat bagi menyertai cabutan bertuah itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kaedahnya saya akan umumkan nanti, sesiapa sahaja boleh menyertainya namun ada syarat penyertaan.

“Jadi, tunggu dan pastikan datang beramai-ramai pada 20 Februari Ini iaitu Hari Terbuka Melaka sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan yang mana orang ramai boleh masuk ke beberapa produk pelancongan secara percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

903
Kongsi :
Previous post Lembu ternakan di Melaka perlu ada tag
Next post Suntikan semangat untuk warga kerja MHI
Ubah saiz-+=