Cadangan rakyat buat KM sempena Belanjawan Melaka 2021

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 4 Nov. – Perjawatan tetap bagi guru lantikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjadi antara perkara yang disuarakan rakyat Melaka untuk dipertimbangkan kerajaan negeri bersempena pembentangan Belanjawan Melaka 2021 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali bermula 9 November ini.

Berbaki kira-kira 10 hari lagi sebelum pembentangan, Sulaiman sempat meminta cadangan serta idea daripada rakyat Melaka akan apa yang mereka inginkan agar dapat dipertimbangkan.

Tinjauan Melaka Hari Ini di laman Facebook rasmi Sulaiman Md Ali mendapati rata-rata rakyat menyuarakan agar status perjawatan tetap guru Tadika dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dapat dimasukkan ke dalam agenda untuk membela nasib mereka yang banyak menabur bakti dalam bidang pendidikan negeri.

Menurut pelayar yang menggunakan nama Mustafah Mus, dia mahukan guru agama JAIM dimartabatkan serta diserap tetap dalam kerajaan.

“Kenaikan gaji guru JAIM serta tahunan. Bidang pendidikan sekolah agama selalu dianaktirikan.

“Gred guru pendidikan ‘DG’ walaupun kerajaan negeri bukan S11 lagi. Harap tuan yang Berhormat mendengar rintihan guru- guru lantikan JAIM,’ katanya melalui ruangan komen yang tinggalkan.

Selain diminta untuk dipertimbangkan perjawatan tetap guru sekolah JAIM, pelayar juga meminta agar mewujudkan semula rumah percuma dan kos rendah yang berharga RM100,000 ke bawah.

Bagi pelayar Suri Zahara, dia mencadangkan agar mewujudkan semula rumah percuma untuk rakyat Melaka yang susah seperti asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Cadangan pembinaan hospital baharu juga disuarakan penduduk Melaka agar ianya dapat disegerakan memandangkan keadaan pada waktu ini padat selain turut dapat menyelesaikan isu tempat letak kereta.

Malah ada juga yang mencadangkan supaya nasib usahawan dan peniaga kecil dapat dibantu memandangkan ramai yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.

Ujar pelayar Ninie Aqif, dia berharap diwujudkan ‘One Stop Centre’ untuk menempatkan produk usahawan.

“Bagi memudahkan pasaran, wujudkan ‘team marketing’ yang mahir untuk memasarkan produk usahawan Melaka yang ternyata hebat dan mampu menandingi produk yang sudah gah,” tulisnya di ruangan komen.

Views:

978
Kongsi :
Previous post Banjir kilat: Tiada PPS dibuka di Gadek
Next post Piala Malaysia: Harapan MU cerah, jika jinakkan Selangor
Ubah saiz-+=