Piala Malaysia: Harapan MU cerah, jika jinakkan Selangor

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 4 Nov. – Melaka United (MU) berpeluang cerah melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia 2020, sekiranya mampu menundukkan Selangor pada aksi pusingan pertama, Ahad ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, walaupun di atas kertas ramai yang menganggap Selangor selaku juara 33 kali Piala Malaysia mempunyai kelebihan, namun beliau secara peribadi yakin kejutan boleh berlaku dalam bola sepak.

Jelasnya, ditambah dengan perlawanan berlangsung di stadium keramat Melaka iaitu Stadium Hang Jebat, itu diyakini boleh mencerahkan lagi peluang pasukan untuk melepasi halangan pertama.

“Mungkin ada yang melihat kita sudah tiada harapan sebab Selangor pasukan yang kuat. Tetapi saya masih menganggap kita mempunyai kelebihan kerana dapat beraksi di stadium sendiri walaupun berstatus pasukan ‘away’.

“Bila beraksi di Stadium Hang Jebat, pemain kita sepatutnya ada kelebihan kerana sudah terbiasa dengan padang itu. Jadi saya harap pemain dapat beri tumpuan penuh dan jurulatih dapat merencana sesuatu untuk mengalahkan Selangor.

“Saya yakin jika kita boleh kalahkan Selangor, maknanya peluang kita untuk melangkah lebih jauh itu akan lebih cerah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut meminta pemain agar dapat memberikan yang terbaik dalam aksi Piala Malaysia untuk membuktikan sesuatu, selepas gagal menyerlah dalam saingan Liga Super yang sudah menutup tirainya baru-baru ini.

“Saya harap kesempatan yang ada digunakan pemain untuk menunjukkan kemampuan sebenar mereka dan membuktikan sesuatu kepada pasukan dan peminat,” ujarnya.

Untuk rekod, MU berjaya mengikat Selangor 1-1 dalam pertemuan terakhir di Liga Super, 12 September lalu.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Cadangan rakyat buat KM sempena Belanjawan Melaka 2021
Next post Kerajaan kaji saranan benarkan pencarum keluarkan dana Akaun 1 
Ubah saiz-+=