Calon BN yang digugurkan akan dipertimbang bertanding kerusi Parlimen – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MELAKA, 6 Nov – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang digugurkan atau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini, akan dipertimbang bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang diambil BN ketika ini adalah satu pendekatan baharu dan berani, dalam memenuhi kriteria WALI (winnable, acceptable and likeable) yang diutarakan sebelum ini.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih. Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baharu.

“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti. Apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu, di samping mengekalkan empat penyandang untuk PRN Melaka.

Beliau dipetik sebagai berkata empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan.

Tarikh mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka, ketika itu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Mayat remaja lemas di Pantai Puteri ditemui
Next post PAS jangan ‘dikurung’ dalam sebarang permuafakatan yang tertutup – Abdul Hadi
Ubah saiz-+=